Dr. Amalina berkahwin! Ini kisah cemasnya menyelamatkan Baby Ainul berusia 10 bulan

Dr. Amalina berkahwin! Ini kisah cemasnya menyelamatkan Baby Ainul berusia 10 bulan

Siapa yang tidak kenal Dr Amalina Che Bakri. Seorang pelajar yang pintar suatu masa lalu dengan keputusan 17 A1 dalam SPM, hingga menjadi pakar bedah diiktiraf antarabangsa.

Pada usia 34 tahun, Dr Amalina Che Bakri sah bergelar isteri kepada jejaka Inggeris, Alexander Charles dalam satu majlis ringkas yang berlangsung di Masjid Central London pada Rabu lalu.

Berita ini dikongsi sendiri oleh Dr Amalina menerusi laman Instagram-nya. Menerusi entri dimuat naik, wanita kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu meluahkan rasa syukur majlis pernikahan dengan suami akhirnya dapat dilaksanakan selepas tiga kali tertangguh berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan di United Kingdom.

Tahniah dicuapkan kepada Dr Amalina moga kekal hingga akhir hayat. Sempena perkahwinanya ini, mari kita kongsikan semula bagaimana pengalaman Dr. Amalina menjadi orang penting dalam misi menyelamatkan adik Ainul Mardhiah (Baby Ainul) yang mengalami Germ Cell Tumor pada tahun 2019

Doktor di Malaysia tidak mampu menjalankan pembedahan ke atasnya

Dalam satu temu bual oleh Berita Harian, Dr Amalina berkongsi detik-detik cemasnya semasa sebelum, semasa dan selepas pembedahan Baby Ainul. Pengenalan Dr Amalina dan keluarga Baby Ainul bermula…

“Pengikut akaun sosial Instagram menghantar mesej dan e-mel kepada saya berhubung penyakit Ainul Mardhiah. Selepas mula mengetahui mengenai penyakitnya, saya meminta bantuan orang ramai di Instagram untuk berhubung dengan ibu bapanya.

Perkongsian itu mendapat perhatian ibu Ainul Mardhiah, Nurul Erwani Zaidi yang membalas mesej Instagram dan di situ bermulanya misi membantu.”

Hatinya sangat tersentuh melihat situasi yang dihadapi Baby Ainul dan berjanji kepada diri sendiri, dia akan berusaha sehabis baik untuk membantu bayi itu dan keluarganya.

“Ibu bapa Ainul Mardhiah memaklumkan, doktor di Malaysia tidak mampu menjalankan pembedahan ke atasnya kerana be-risiko tinggi dan bayi ini juga memerlukan penjagaan paliatif yang tidak mempunyai rawatan untuk sembuh.

Justeru, ibu bapa Ainul Mardhiah terbuka untuk mendapatkan pandangan kedua daripada pihak pakar di United Kingdom (UK).

Saya bertugas di London, namun mempunyai kepakaran dalam bidang pembedahan saja. Bagaimanapun saya mempunyai ramai kenalan yang pakar dalam bidang pediatrik.

Saya berhubung dengan pasukan mereka termasuk pakar pediatrik onkologi, pakar pembedahan craniofacial atau plastik dan pakar telinga, hidung dan tekak (ENT) serta pakar kepala dan leher.

Selepas berbincang, kami sepakat untuk membawa Ainul Mardhiah ke London.”

Sepanjang pembedahan saya berasa cemas

Dalam misi membawa Baby Ainul ke London, cabarannya terlalu banyak. Bermula pada awal lagi khususnya bagi membuat persediaan sebelum Ainul Mardhiah diterbangkan ke London. Antaranya rawatan perubatan bagi bayi ini.

Menurutnya, Ainul Mardhiah juga mengalami jangkitan dada sebelum pemindahan menerusi penerbangan. Ini bermakna perjalanan itu sangat berisiko untuknya memandangkan dia mempunyai tiub trakeostomi (di leher) untuk menyokong pernafasannya. Malah, dia memerlukan pakar anestetik untuk memastikan perjalanan itu selamat.

Beberapa faktor ini menyebabkan usaha membawanya ke London memakan masa sedikit. Ia bertujuan memastikan bayi selamat untuk diterbangkan ke London.

“Perasaan saya bercampur-baur. Saya rasa lega dan sangat gembira. Air mata kegembiraan mengiring kejayaan pembedahan ini.

Sepanjang pembedahan saya berasa cemas, terutama ketika pembedahan membuang ketumbuhan dilakukan. Ia sangat dekat dengan saluran darah penting di leher dan berisiko tinggi sehingga boleh menyebabkan pendarahan teruk. Pembedahan ini memang berisiko untuk bayi kecil seperti dia.”

Dalam misi menyelamat ini juga, penghargaan perlu diberikan kepada seluruh rakyat Malaysia yang mengerakkan isu ini. Oleh kerana kos rawatan yang tinggi perlu ditanggung oleh keluarga Ainul, arus media sosial telah membuktikan bahawa ianya mampu menjadi satu penggerak positif dalam masyarakat.

Suka dengan pengisian artikel ini? Mari dapatkan banyak lagi artikel berkaitan kesihatan dari kami dengan menyertai channel telegram kami di sini: https://t.me/kitasihat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *