Tular guru di Port Dickson mati akibat suntikan vaksin. Tapi sebenarnya ini yang berlaku

Tular guru di Port Dickson mati akibat suntikan vaksin. Tapi sebenarnya ini yang berlaku

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai wanita berusia 54 tahun yang merupakan seorang guru di Port Dickson meninggal dunia disebabkan pengambilan vaksin.

Namun begitu, polis hari ini (5 April 2021) menafikan maklumat tular menerusi media sosial kononnya seorang guru meninggal dunia selepas mengambil suntikan vaksin Covid-19.

Menurut Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supt Aidi Sham Mohamed, wanita itu mengalami sawan semasa berada di rumah dan dikejarkan ke Hospital Port Dickson pada 1 April untuk menerima rawatan sebelum disahkan meninggal dunia pada hari berikutnya.

“Berita tular ini tidak benar dan pihak polis menafikan punca kematian mangsa disebabkan oleh pengambilan vaksin pada 30 Mac lepas. Ini kerana siasatan awal pihak hospital mendapati mangsa yang meninggal dunia mempunyai rekod rawatan penyakit kronik iaitu sakit kencing manis, jantung dan darah tinggi sejak setahun lepas,” – katanya lagi

Orang awam dinasihatkan agar tidak menyebarkan berita tidak benar yang boleh mengelirukan masyarakat. Tindakan tegas akan diambil di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali.

Tahukah anda? 1 dalam 100 orang di dunia akan mengalami sawan

Menurut Myhealth, sawan atau Epilepsi ditakrifkan sebagai gejala yang bersifat sementara akibat dari “aktiviti neuron yang berlebihan atau serentak” di dalam otak.

“Gangguan pada otak dan jaringan sistem saraf ini menyebabkan otak tidak dapat berfungsi dengan teratur untuk suatu tempoh yang singkat dan membawa kepada terjadinya serangan Epilepsi yang terdiri dari pelbagai bentuk.”

Dalam kebanyakan kes, puncanya tidak diketahui. Walau bagaimanapun, ianya boleh disebabkan oleh kerosakan tisu otak akibat jangkitan, parut pada otak akibat dari kecederaan, tumor, pengambilan alkohol yang berlebihan, salahgunaan dadah serta faktor genetik. Kekerapan epilepsi adalah 1 dalam 100 orang, manakala risiko kaum lelaki dan perempuan adalah sama.

Perlu diingat bahawa sawan yang berlaku dalam tempoh yang singkat tidak akan menyebabkan kematian atau kerosakan otak.

Epilepsi/sawan boleh dikawal dengan ubat-ubatan. Dengan pengambilan ubat-ubatan yang betul dan mengikut arahan, kebanyakan serangan epilepsi boleh dikawal dan pesakit boleh menjalani kehidupan yang normal, berkahwin serta mempunyai anak yang sihat.

Untuk mencegahnya, seseorang itu perlu mengenal pasti dan mencegah faktor pencetus seperti kelesuan, keletihan fizikal, tekanan, kurang tidur dan alkohol berlebihan.

Suka dengan pengisian artikel ini? Mari dapatkan banyak lagi artikel berkaitan kesihatan dari kami dengan menyertai channel telegram kami di sini: t.me/kitasihat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *