“Kawe tak halal sampai ke mati.” Peniaga Kelantan marah batalkan bazar last minute

“Dengan penuh rasa dukacita…saya memohon kemaafan daripada masyarakat dan rakyat sekalian bahawasanya, kita terpaksa membatalkan kesemua bazar Ramadan yang telah diputuskan sebelum ini,”
Semalam (11 April 2021), kerajaan Kelantan secara terbuka memohon maaf kepada seluruh peniaga susulan membatalkan bazar Ramadan di saat akhir yang berkuatkuasa serta-merta.
Permohonan maaf itu disampaikan oleh Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin dalam sidang akhbar yang berlangsung di pejabatnya.
Walaupun begitu, pembayaran deposit bazar Ramadan yang dibuat oleh peniaga sebelum ini akan dikembalikan semula. Keputusan ini diambil selepas mengambil kira situasi semasa pandemik Covid-19 ketika ini.
Seandainya kes baharu Covid-19 terus mencecah tiga angka sehari besar kemungkinan Pusat Rawatan dan Kuarantin Covid-19 berisiko rendah (PKRC) akan menjadi tepu. Disebabkan itu kerajaan Kelantan mengambil langkah awal memutuskan rantaian Covid-19 dengan membatalkan bazar Ramadan.
Dia tak apalah dapat gaji beribu-ribu sebulan. Tak reti fikirkan rakyat…
Semestinya keputusan ini akan menerima pelbagai reaksi. Salah seorangnya peniaga yang dikenali sebagai MrZack Muscar yang amat kecewa dan tidak berpuas hati dengan tindakan tergesa-gesa Exco negeri Kelantan yang telah membatalkan aktiviti Bazar Ramadan dan Aidilfitri.
Baginya, para pemerintah tidak berfikir panjang terhadap keputusan itu yang dibuat dua hari sebelum puasa. Jika keputusan pembatalan itu dibuat dua minggu awal, ia mungkin boleh diterima para peniaga.
“Dia tak apalah dapat gaji beribu-ribu sebulan. Tak reti fikirkan rakyat, dah habis duit buat modal untuk jual di bazar,” katanya.
Sebagai peniaga yang telah membuat persiapan awal sebelum Ramadan, dia telah mengeluarkan modal RM5,000 untuk berniaga pada Ramadan kali ini.
“Awak nak bayar balik ke? Cuba berfikirlah. Sudahlah bagitahu dua hari sebelum puasa,”
“Kawe (saya) tidak halal sampai ke mati, modal kawe hangus sebab demo (awak) umum ‘last minute’…ingat deh.
Sekali sehari makan nak kumpul duit buat modal bazar, demo tak fikir benda tu. Demo gaji beribu-ribu makan sedap-sedap,”
Dia juga mengingatkan bahawa Allah itu Maha Adil dan mereka yang menganiaya orang lain akan terima balasannya nanti.
Keputusan tergesa-gesa Kerajaan Negeri Kelantan membatalkan Bazar Ramadan dan Aidilfitri membuat ramai peniaga yang terdiri daripada B40 berang dan tidak berpuas hati.
Apatah lagi keputusan itu dibuat dua hari sebelum Ramadan menyebabkan ramai kerugian ribuan ringgit bagi mengeluarkan modal untuk berniaga sepanjang Ramadan ini.
Apa pendapat anda semua terhadap isu ini? Kongsikan di ruangan komen.
Suka dengan pengisian artikel ini? Mari dapatkan banyak lagi artikel berkaitan kesihatan dari kami dengan menyertai channel telegram kami di sini: https://t.me/kitasihat