Instafamous kongsi tips rentas untuk ‘honeymoon’, didenda dan dijel sehari. Ini sebabnya

Sepasangan instafamous yang tular merentas negeri ke Johor kerana ‘honeymoon’ dipenjara sehari dan denda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret hari ini (20 April 2021) atas pertuduhan memberi maklumat bertulis palsu pada bulan lalu.
Menurut Sinar Harian, Iram Naz Hafiz Sabir Muhammed, 24, yang memakai jubah kelabu manakala suaminya, Azharique Shah Abdul Jalil, 23, berjubah putih dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah di hadapan Majistret Wong Chai Sia.
Sebelum ini, tular gambar pasangan itu di media sosial kononnya pergi berbulan madu di suatu kawasan peranginan dan cuba memberi tip kepada netizen berkenaan cara-cara untuk merentas negeri.
Pasangan tersebut telah hadir ke Balai Polis Wangsa Maju, untuk memohon permit pergerakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ke Johor Bahru atas urusan perniagaan dan mereka telah mengemukakan surat arahan menjalankan tugas oleh syarikat.
Hanya akan mempertimbang enam alasan daripada pemohon
Polis Diraja Malaysia (PDRM) hanya akan mempertimbang enam alasan daripada pemohon sebelum membenarkan mereka melakukan perjalanan merentas negeri.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata ia membabitkan tujuan pekerjaan, kecemasan dan kematian ahli keluarga terdekat, perubatan, pendidikan serta menemui pasangan jarak jauh.
Beliau berkata, langkah mengetatkan syarat permohonan itu diambil susulan peningkatan kes baharu positif COVID-19 sejak empat hari lalu. Mereka yang mendapat kelulusan untuk merentas negeri hanya dibenarkan melakukan perjalanan pada hari Isnin hingga Khamis saja.
“Permohonan dibuat untuk pergerakan pada hujung minggu tidak akan diluluskan. Hanya sebab kecemasan, kematian dan pasangan jarak jauh dibenarkan pada hujung minggu iaitu Jumaat hingga Ahad,”
Acryl Sani berkata, permohonan pergerakan rentas negeri bagi tujuan sosial seperti menghadiri kenduri perkahwinan dan apa-apa jenis majlis atau jamuan dilarang.
Suka dengan pengisian artikel ini? Mari dapatkan banyak lagi artikel berkaitan kesihatan dari kami dengan menyertai channel telegram kami di sini: https://t.me/kitasihat