Polis negeri ini cadang pihak sekolah dan ibu bapa dikenakan kompaun. Ini sebabnya

Beberapa sekolah telah mula ditutup akibat munculnya beberapa kes dan kluster penularan COVID-19. Bertitik tolak daripada itu, polis Pahang mencadangkan tindakan kompaun dikenakan terhadap sekolah yang mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) sehingga mencetuskan kluster baharu COVID-19 di institusi pendidikan tersebut.
Menurut Ketua Polis Pahang Datuk Seri Abd Jalil Hassan, cadangan itu akan dikemukakan kepada Jawatankuasa Task Force COVID-19 negeri yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Pahang Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak dalam masa terdekat.
“Polis seboleh-bolehnya tidak mahu mengeluarkan kompaun, namun tindakan ini dilihat sebagai langkah terakhir kita memastikan semua pihak bertanggungjawab mengambil tindakan sewajarnya supaya tidak berlaku kluster baharu di sekolah.” – katanya
Beliau turut menginatkan ibu bapa agar peka dengan situasi anak. Jika mereka bergejala atau tidak sihat, jangan benarkan anak ke sekolah kerana ia berisiko mengakibatkan perkara tidak diingini yang seterusnya menyukarkan pihak lain.
Unit rondaan bermotosikal (URB) dan kereta peronda (MPV) akan ditempatkan pada waktu puncak
Bagi membantu pematuhan SOP di sekolah, beliau berkata unit rondaan bermotosikal (URB) dan kereta peronda (MPV) akan ditempatkan pada waktu puncak, iaitu balik dan pulang bagi membantu pegawai perhubungan sekolah mengawasi keadaan.
Sebelum ini, Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) mencadangkan Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya menutup semua sekolah buat sementara waktu.
Presiden PIBGN, Profesor Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berkata, ia susulan peningkatan kes di beberapa negeri dan pertambahan kes melibatkan sekolah.
“Saya mohon supaya pihak bertanggungjawab menimbang cadangan ini bagi mengurangkan risiko penularan Covid-19 dalam kalangan guru-guru dan pelajar. Untuk itu, jika sekolah ditutup sementara, kita harap sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) dan Didik.
Langkah ini penting demi keselamatan semua pihak di sekolah terutama pelajar. Setakat ini, kita lihat sudah ada sekolah ditutup kerana peningkatan kes dan kewujudan kluster,” – katanya
Apa pendapat anda mengenai isu ini? Perlukah sekolah ditutup keseluruhannya?
Suka dengan pengisian artikel ini? Mari dapatkan banyak lagi artikel berkaitan kesihatan dari kami dengan menyertai channel telegram kami di sini: https://t.me/kitasihat