“Cikgu tibai Danish hanya sebab tak siap kerja sekolah”. Wanita dakwa anak dipukul guru

“Cikgu tibai Danish hanya sebab tak siap kerja sekolah”. Wanita dakwa anak dipukul guru

Kes guru memukul pelajar di sekolah atas kesilapan-kesilapan kecil tidak pernah selesai. Baru-baru ini, seorang ibu mendakwa anak lelakinya berusia 9 tahun dipukul oleh seorang guru.

Dilaporkan juga, guru tersebut menggunakan pembaris kerana tidak menyiapkan kerja sekolah yang diberikan pada Khamis lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir, pihaknya menerima laporan yang dibuat oleh seorang wanita berusia 32 tahun berhubung kejadian berkenaan yang berlaku di sebuah sekolah rendah di Kuala Kedah.

Laporan dibuat oleh wanita berkenaan pada jam 4.36 petang pada hari tersebut.

“Semasa mengambil anaknya di sekolah pada jam 1 petang, dia mendapati lengan bahagian kiri, jari kiri dan muka sebelah kiri anaknya mengalami kecederaan.

Mangsa memaklumkan gurunya yang memukulnya menggunakan pembaris kerana tidak siap kerja sekolah,”

Ahmad Shukri berkata, bagaimanapun kes tersebut masih lagi dalam siasatan pihaknya dan disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tular kenyataan wanita tersebut di Facebook apabila mendakwa guru terbabit memukul anaknya dengan pembaris kerana gagal menyiapkan kerja sekolah yang diberikan pada Khamis.

“Allahu, bergetar tangan dan badan, jatuh air mata.”

Menurut perkongsian Puan Eda Ni, ibu kanak-kanak itu berkata, anaknya telah ‘ditibai’ oleh guru hanya kerana gagal menyelesaikan tugasan yang diberi.

“Allahu, bergetar tangan dan badan, jatuh air mata. Cikgu tibai Danish hanya sebab tak siap kerja sekolah yang baru diberi,”

Berdasarkan gambar, terdapat enam kesan birat di tangan kiri Danish yang sebahagiannya masih mempunyai kesan merah dan bengkak.

Di bahagian jari tangan kiri pula, jelas kelihatan kesan luka di pelipat jari telunjuk dan jari hantu. Begitu juga dengan kesan luka kecil di dahi kiri dan pipi mangsa yang kelihatan seperti kesan cakaran.

Suka dengan pengisian artikel ini? Mari dapatkan banyak lagi artikel berkaitan kesihatan dari kami dengan menyertai channel telegram kami di sini: https://t.me/kitasihat

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *