Pesakit COVID-19 mati tanpa orang tersayang disisi. Doktor kongsi detik cemas di ICU

Ramai yang mula sedar, betapa bahayanya COVID-19 apabila orang terdekat atau kenalan rapat mereka sendiri dijangkiti dan terpaksa dimasukkan ke ICU. Kesedaran ini sangat penting agar kita semua terus berusaha menjaga diri dan mematuhi SOP sebaiknya.
Kita semua perlu merasa risau juga kerana ruang ICU yang menempatkan pesakit COVID-19 juga dilaporkan berada dalam keadaan kritikal. Katil ICU di Lembah Klang beroperasi dengan kapasiti 113%, sementara 91% katil di ICU di seluruh negara telah dipenuhi.
Ditambah pula dengan kehadiran varian-varian baru menyebabkan tahap kebolehjangkitan dalam masyarakat di seluruh negara adalah tinggi. Ia sangat menakutkan bagi kita semua.
Kita di luar pun sudah rasa takut, apatah lagi para petugas kesihatan
Mungkin masih ramai yang tidak sedar mengenai keadaan getir yang terpaksa dilalui oleh petugas kesihatan yang kini sedang bertungkus lumus untuk membendung penularan jangkitan COVID-19 ini.
Tanpa mengira penat lelah, mereka menyumbangkan tenaga dan semangat untuk membantu pesakit tanpa mengira latar belakang.
Menerusi ciapan Dr Khairil Syahmi Mokhtar di Twitter, beliau berkongsikan kepada orang ramai mengenai situasi sebenar yang sedang berlaku dalam sistem kesihatan negara pada masa kini.
It’s really depressing to see our covid patients dying alone without their loved one.
Stay safe and get vaccinated!#6kcases #icubedpenuh #stage5covid pic.twitter.com/lFndDgHrYi— Khairil Syahmi Mokhtar (@khairilsyahmi) May 19, 2021
Bertujuan untuk memberikan kesedaran kepada orang ramai, Dr Khairil meluahkan kesedihannya apabila melihat sendiri pesakit-pesakit COVID-19 yang meninggal dunia tanpa orang tersayang disisi.
Video yang dimuatnaik olehnya memaparkan petugas kesihatan yang sedang berusaha memberikan bantuan pernafasan kepada seorang pesakit di ICU.
Mungkin video itu hanya berdurasi tiga saat sahaja tetapi ia cukup menggambarkan keadaan sebenar yang sedang berlaku pada ketika ini.
Suka dengan pengisian artikel ini? Mari dapatkan banyak lagi artikel berkaitan kesihatan dari kami dengan menyertai channel telegram kami di sini: https://t.me/kitasihat