Pengkaji Eropah uji kemudaratan konsert besar sewaktu wabak. Ini hasilnya selepas 14 hari

Pengkaji Eropah uji kemudaratan konsert besar sewaktu wabak. Ini hasilnya selepas 14 hari

Wabak COVID-19  ini telah menjatuhkan industri muzik dan banyak aktiviti budaya lain yang dilakukan secara langsung. Industri muzik di Eropah telah kerugian sebanyak 76% dari pendapatannya pada tahun 2020, menurut kajian oleh Persekutuan Muzik Sepanyol.

Di Malaysia, konsert muzik ini tidaklah segah di Eropah kerana di sana ia merupakan satu cara hidup bersosial. Oleh sebab itu, para penyelidik di Sepanyol telah membuat satu ujian atau percubaan untuk membuktikan konsert muzik mematuhi SOP tidak mendatangkan mudarat sewaktu COVID-19 ini.

Lebih kurang 5,000 pengunjung dibenarkan masuk untuk menikmati konsert

Pada bulan Mac lalu, BBC melaporkan bahawa pihak berkuasa Sepanyol telah memberi kebenaran kepada sebuah konsert yang menampilkan kumpulan Love of Lesbian di Barcelona.

Konsert ini diadakan sebagai sebahagian daripada projek penyelidikan untuk melihat kebolehlaksanaan mengadakan acara besar-besaran di kala pandemik COVID-19 melanda.

Para pengunjung perlu hadir awal untuk disaring terlebih dahulu. Kakitangan dari hospital tempatan dan penganjur acara bekerjasama untuk melakukan ujian pantas saringan (rapid test) di tiga khemah khas di kawasan konsert.

Pengunjung yang memegang tiket hanya dibenarkan memasuki stadium setelah kod keputusan negatif dihantar ke telefon mereka. Suhu dan ID diperiksa di pintu. Lebih kurang 5,000 pengunjung dibenarkan masuk untuk menikmati konsert.

Sepanjang konsert berlangsung, tidak perlu penjarakan fizikal, tetapi wajib memakai pelitup muka

Hanya enam orang didapati positif dalam masa 14 hari

Para penyelidik di Sepanyol mendapati “tiada tanda” tahap jangkitan yang tinggi dalam kalangan orang yang mengambil bahagian dalam ujian konsert besar-besaran itu.

Hanya enam orang didapati positif dalam masa 14 hari setelah menghadiri konsert di Barcelona itu. Menurut laporan BBC, dari enam orang yang diuji positif, para penyelidik menyimpulkan bahawa empat dari mereka dijangkiti di tempat lain, bukan di acara itu sendiri.

“Tidak ada tanda yang menunjukkan penularan terjadi selama acara itu,” kata pakar penyakit berjangkit Josep Maria Llibre 

Melalui ujian ini, para pemuzik dan peminat berharap ia membuka mata semua pihak bahawa acara besar-besaran masih boleh dilakukan walaupun dunia masih berdepan pandemik COVID-19.

Suka dengan pengisian artikel ini? Mari dapatkan banyak lagi artikel berkaitan kesihatan dari kami dengan menyertai channel telegram kami di sini: https://t.me/kitasihat

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *