Produk tradisional kurangkan kolestrol ini disahkan mengandungi racun. Ini bahan digunakan

Produk tradisional kurangkan kolestrol ini disahkan mengandungi racun. Ini bahan digunakan

Sebuah kenyataan akhbar telah dikeluarkan Ketua Pengarah Kesihatan, Dr. Noor Hisham Abdullah pada 5 Jun 2021 berkaitan Produk Tradisional PS 21 Capsule Dikesan Mengandungi Racun Berjadual.

Menurut kenyataan itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin menggesa orang awam untuk mengelak daripada membeli dan menggunakan Tradisional PS 21 Capsule yang telah dikesan mengandungi racun berjadual, simvastatin.

Pendaftaran produk ini telah dibatalkan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) pada mesyuaratnya yang ke-358 berikutan pengesanan racun berjadual simvastatin di dalam produk berkenaan yang tidak dibenarkan dalam formulasi produk tradisional.

Sejenis ubat yang digunakan untuk mengurangkan paras kolesterol dalam darah

Simvastatin merupakan sejenis ubat yang digunakan untuk mengurangkan paras kolesterol dalam darah dan pengambilan tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan sampingan seperti gangguan pencernaan, rasa lemah, sakit kepala, gangguan pada fungsi normal hati, otot terasa sakit apabila disentuh atau lemah otot.

Penjual dan pengedar produk ini perlu menghentikan penjualan dan pengedarannya dengan serta-merta. Penjualan dan pengedaran produk adalah melanggar Akta Jualan Dadah 1952 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan-kesalahan berikutnya.

Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

Pengguna produk ini dinasihatkan berhenti menggunakannya

Orang awam yang sedang menggunakan produk ini dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.

Maklumat status pendaftaran bagi sesuatu produk boleh dibuat dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA http://npra.moh.gov.my/ atau melalui aplikasi ‘NPRA Product Status’ yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store.

Sumber: kpkesihatan.com

Suka dengan pengisian artikel ini? Mari dapatkan banyak lagi artikel berkaitan kesihatan dari kami dengan menyertai channel telegram kami di sini: https://t.me/kitasihat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *