Pakar perubatan tempatan kata sanitasi awam satu pembaziran wang rakyat. Ini sebabnya

Pakar perubatan tempatan kata sanitasi awam satu pembaziran wang rakyat. Ini sebabnya

Sejak pandemik COVID-19 melanda dunia, pelbagai norma baru diperkenalkan seperti memakai pelitup muka, penjarakan fizikal dan sanitasi tangan selepas keluar dari rumah.

Begitu juga, norma baru melibatkan kawasan awam seperti program sanitasi awam. Kita sering mendengarnya sebelum ini apabila sesuatu kawasan itu menjadi punca kluster COVID-19, ia akan ditutup dan disanitasi.

Bermula 29 Me lalu, program sanitasi awam besar-besaran di 284 lokasi di seluruh Malaysia telah dilakukan untuk membersihkan kawasan yang dipercayai mempunyai potensi virus COVID-19. Namun, tidak semua bersetuju dengan program seperti ini.

Dianggap satu pembaziran wang rakyat

Bagi pakar Kardiologi Institusi Jantung Negara (IJN), Dr. Beni Isman Rusani, programa sanitasi awam ini dianggap satu pembaziran wang rakyat.

Perkara ini ditegaskan olehnya melalui hantaran di Twitter-nya kerana tiada bukti saintifik yang menunjukkan ia berkesan dalam mengawal penularan COVID-19.

Sebaliknya ia berisiko untuk mencetus masalah kesihatan kepada orang ramai oleh kerana bahan kimia seperti formaldehid, ejen berasaskan klorin dan ammonium.

“Sanitasi kawasan luar adalah tidak berasaskan sains. Pembaziran wang rakyat dan sumber kerajaan. Pendedahan terhadap bahan kimia boleh membahayakan orang ramai.” tulisnya (diterjemahkan kepada BM)

Dr Beni Isman turut berkongsi kenyataan Akademi Perubatan Malaysia (AMM) yang menggesa kerajaan agar menamatkan program sanitasi awam dan menggunkan wang yang sepatutnya ditumpukan kepada langkah pencegahan COVID-19 yang lebih berkesan.

Pusat Kawalan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS) juga menolak langkah sanitasi di tempat awam

Kenyataan yang dikeluarkan itu bagi menyokong pandangan Ahli Majlis Sains Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman yang menyifatkan program sanitasi awam adalah satu pembaziran wang.

Kerajaan perlu mengutamakan perlindungan kepada hospital dan unit rawatan rapi (ICU) dalam tempoh dua minggu sekatan pergerakan penuh bagi membolehkan profesional penjagaan kesihatan serta petugas barisan hadapan berehat.

Sebelum ini, Dr Adeeba menerusi ciapan di Twitter berharap peruntukan yang digunakan untuk sanitasi awam digunaan untuk perkara yang lebih penting seperti kelengkapan perlindungan diri (PPE), kanula hidung aliran tinggi, meter ketepuan oksigen dan sebagainya.

Pihak Akademi Perubatan Malaysia (AMM) menyifatkan bahawa Pusat Kawalan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS) juga menolak langkah sanitasi di tempat awam selain mendapat saranan daripada pihak WHO yang menyifatkan bahan kimia di dalam sanitasi memiliki kesan pada kesihatan.

Susulan itu, AMM menggesa langkah pencegahan COVID-19 di Malaysia dilaksanakan berasaskan bukti saintifik, antaranya menyediakan garis panduan aliran udara berikutan CDC dan WHO mengesahkan penyakit itu adalah virus bawaan udara.

Sumber: Berita Harian

Suka dengan pengisian artikel ini? Mari dapatkan banyak lagi artikel berkaitan kesihatan dari kami dengan menyertai channel telegram kami di sini: https://t.me/kitasihat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *