Hospital Pakar Kanak-Kanak tempatan tercanggih bertukar pusat rawatan COVID-19. Ini sebabnya

Siapa sangka, hospital yang sepatutnya menerima pesakit kanak-kanak ditukar fungsinya menjadi pusat rawatan COVID-19. Inilah yang bakal berlaku kepada Hospital Pakar Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (HPKK UKM) tidak lama lagi.
Pada 4 Jun 2021, HPKK UKM telah mencatat sejarahnya yang tersendiri selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menandatangani ordinan darurat yang membenarkan HPKK beroperasi sepenuhnya.
Pastinya ia sedikit pelik apabila sepatutnya jangkaan menerima pesakit kanak-kanak pertama pada akhir bulan Mac 2021 yang lalu, bertukar menjadi sebuah pusat perubatan yang bakal merawat ratusan pesakit COVID-19 di Malaysia.
Hospital ini dilengkapi dengan sistem pengurusan tercanggih
Mengikut sejarahnya, HPKK mula dibina pada bulan Mei 2014, dengan keluasan 2,171,531 kaki persegi. Ia dibina seiring dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan hospital ini sebagai pusat perubatan dan perawatan yang berpusatkan keluarga dan mesra kanak-kanak.
Hospital ini juga dilengkapi dengan sistem pengurusan tercanggih dengan intensif penyelidikan. Antara kelengkapan yang dicadangkan adalah rawatan implan koklea, surgeri skoliosis, surgeri laparoskopi pediatrik dan surgeri Neuro-Oncology intraoperative hybrid MRI.
Kawasan HPKK juga luas dilengkapi pusat konvensyen dan blok parkir bertingkat bagi memenuhi keperluan pesakit dan keluarga. Di samping itu, hospital ini mempunyai kapasiti 243 buah katil dimana bilik pesakit kelas pertma dilengkapi dengan bilik air, meja dan ‘sofa bed’.
Selain itu, 28 buah katil rawatan kritikal/ICU (bersaiz dewasa) juga disediakan untuk kegunaan pesakit.
Institusi awam dan swasta sentiasa bersedia untuk memberi sumbangan masing-masing
Dalam keadaan seluruh dunia sedang bergelut dengan isu pandemik, institusi awam dan swasta sentiasa bersedia untuk memberi sumbangan masing-masing.
Di UKM, usaha membantu kerajaan memerangi COVID-19 sudah bermula seawal tahun 2020 lagi. Antaranya adalah dengan menyediakan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) UKM sebagai sebuah institusi perubatan yang mengendalikan kes pesakit dan ujian saringan COVID-19 di Makmal Diognastik hospital ini.
Institut Perubatan Molekul UKM atau UMBI pula telah menubuhkan Makmal Diagnostik COVID-19 yang mula beroperasi pada 4 April 2020 melalui kerjasama strategik dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Dewan Gemilang UKM telah dipilih sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang telah bermula pada 5 Mei 2021.
Setakat ini, UKM telah berjaya melakukan transformasi prasarana sedia ada mengikut trend dan keperluan semasa.
Sumber: Astro Awani
Suka dengan pengisian artikel ini? Mari dapatkan banyak lagi artikel berkaitan kesihatan dari kami dengan menyertai channel telegram kami di sini: https://t.me/kitasihat