Pensyarah perubatan ini tegur dengan sopan kenyataan Prof Muhaya. Ini isi tegurannya

Siapa yang tak kenal dengan Prof. Muhaya, seorang pakar mata dan terlibat dengan ceramah-ceramah motivasi. Namun begitu, beberapa kenyataan yang dikeluarkannya sebelum ini pernah mengundang kontroversi dan masalah.
Terbaru ini, video Prof Muhaya berdurasi 56 saat yang menyentuh hal menyentuh perihal kepimpinan lelaki dan urusan jodoh wanita telah menerima kritikan ramai orang termasuk pensyarah perubatan, Dr. Harlina Halizah Siraj.
Beliau menuliskan kritikan dan teguran itu di FB-nya dan dikatakan telah menghubungi Prof. Muhaya terlebih dahulu untuk mengelakkan salah faham.
Pengalaman perubatan beliau tidak pernah temui seperti yang diperkatakan Prof. Muhaya
Melaui tegurannya itu, beliau rasa sangat terkejut dan kecewa dengan kenyataan Prof. Muhaya tersebut. Berikut adalah pendirian Harlina Halizah Siraj berkaitan isu yang berbangkit :
1. Kepimpinan adalah amanah yang dipikul secara kolektif oleh semua lelaki & wanita. Rujukan hadis Rasulullah SAW yangg diriwayatkan oleh Muslim : “Ketahuilah setiap daripada kamu adalah pemimpin, dan setiap daripada kamu akan diminta pertanggungjawaban terhadap apa yang dipimpin.
Dalam beberapa urusan khusus yang telah digariskan di dalam AlQuran & Hadis – lelaki diberi tanggungjawab memimpin keluarga (qawama) – sebagai suami dan bapa yang menjaga dan menyediakan keperluan ahli keluarganya, menjadi ketua pembangunan spiritual famili sebagi imam solat berjamaah ; kewajipan yang mesti dilaksana dan tanggungjawab yang akan dipersoalkan di akhirat.
Qawama bukanlah keistimewaan & kelebihan untuk disalah guna dan alasan untuk menindas atau menganiaya.
2. Selepas tanggungjawab kepimpinan dan setiap peranan dilaksanakan dengan sebaiknya, setiap lelaki dan wanita berhak mendapatkan pengiktirafan terhadap sumbangan masing-masing.
Hak-hak ini mesti dipenuhi dan dihormati pula oleh orang lain. Kesetaraan dan kesaksamaan ini yang amat perlu digapai dalam keluarga sehingga lahir hubungan harmoni yang berdasarkan rasa percaya-mempercayai dan saling hormat yang tinggi terhadap potensi dan kebolehan setiap seorang – baik lelaki mahupun wanita.
Kesetaraan, kesaksamaan dan keadilan ini yang mesti diperjuangkan oleh setiap individu.
3. Bukannya secara bertanding dan bersaing dengan kaum yang berlainan jantina, yang dianggap jauh lebih baik, mulia dan hebat. Emansipasi, liberasi atau usaha pembebasan wanita seperti itu sudah lapuk ditelan zaman.
Kaedah ini berasaskan tanggapan lelaki lebih baik dari wanita, sehingga formula untuk wanita berjaya, mestilah bersifat dengan ciri-ciri kelelakian. Lelaki & wanita sepatutnya saling membantu, berkolaborasi dan memanfaatkan kekuatan masing-masing untuk kebajikan semua.
4. Pernyataan mengenai naiknya tahap hormon testosteron bila wanita sibuk nak buat apa yang lelaki buat – ini belum pernah Dr Har temui dalam pembacaan ilmu perubatan dan pengalaman klinikal Dr Har setakat ini.
5. Jodoh pertemuan di tangan Allah SWT. Lambat & cepat jodoh seseorang itu juga dlm ketentuan-Nya. Faktor tarikan & penolakan jodoh juga sangat subjektif dan tidak konsisten.
Tidak bodoh -bodoh – biarpun sedikit, apatah lagi kalau jelas kebodohannya
Kesimpulannya, menurut Dr Harlina Halizah Siraj, sememangnya masih ramai lelaki yang lebih suka kalau pasangan isterinya mempunyai ciri-ciri lebih rendah & kurang dalam segala aspek berbanding dirinya.
Kurang rasa tercabar dan dicabar. Lelaki begini mungkin lebih suka isteri yang kurang cerdik dan sentiasa bergantung dengannya. Namun terdapat lelaki yang lebih suka wanita yang independent, tegas dan cerdik. Tidak lembut-lembut, tidak manja serta tidak lemah gemalai.
Tidak bodoh -bodoh – biarpun sedikit, apatah lagi kalau jelas kebodohannya. Pernah terbaca : The most attractive part of a woman, is her intelligence & wisdom! ( Bahagian seorang wanita yang paling menarik adalah kepintaran dan kebijaksanaannya)