Produk krim muka ini disahkan mengandungi sejenis racun kepada kulit. Ini bahan digunakan
Sebuah kenyataan akhbar telah dikeluarkan Ketua Pengarah Kesihatan, Dr. Noor Hisham Abdullah pada 11 Jun 2021 berkaitan Produk Brilliant Skin Essentials Whitening Facial Cream Dikesan Mengandungi Racun Berjadual.
Menurut kenyataan itu, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin menggesa orang awam untuk mengelak daripada membeli dan menggunakan produk kosmetik Brilliant Skin Essentials Whitening Facial Cream kerana dikesan mengandungi racun berjadual, iaitu Tretinoin.
Notifikasi produk kosmetik terlibat telah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, KKM. Oleh itu, produk kosmetik tersebut tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia.
Apakah kesan racun tretinoin kepada kita?
Produk yang mengandungi tretinoin adalah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan.
Penggunaan produk yang mengandungi bahan tersebut tanpa pengawasan profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan-kesan sampingan yang tidak diingini seperti bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.
Oleh itu, Penjual dan pengedar produk kosmetik ini perlu menghentikan penjualan dan pengedaran produk kosmetik tersebut dengan serta-merta. Penjualan dan pengedaran produk kosmetik ini adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.
Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.
Pengguna produk kosmetik ini dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya
Orang awam yang sedang menggunakan produk kosmetik ini dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.
Orang awam digalakkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA www.npra.gov.my atau melalui aplikasi ‘NPRA Product Status’ yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store.
Sumber: kpkesihatan.com