Akibat tekanan tiada pekerjaan. Suami nekad kurung isteri dan dua anak di dalam rumah

Pandemik COVID-19 telah memberi kesan kepada semua orang. Dari sudut ekonomi, ramai orang hilang kerja. Manakala dari sudut kesihatan mental, ramai yang tertekan atas pelbagai faktor.
Masalah hilang pekerjaan dan tekanan perasaan ini sangat berkait rapat ketika PKP ini. Seperti yang berlaku di sebuah rumah di Taman Nusa Intan, Seremban baru-baru ini apabila seorang lelaki nekad mengurung isteri dan dua anaknya.
Puncanya, lelaki terbabit mengalami tekanan perasaan kerana tidak mempunyai pekerjaan susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).
Lelaki berkenaan bertindak mengunci pagar, gril dan pintu belakang rumahnya
Menurut Pegawai Operasi Balai Bomba Senawang, Zinurin Sarip, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.51 malam berhubung kejadian tersebut.
“Lelaki berkenaan bertindak mengunci pagar, gril dan pintu belakang rumahnya dari dalam disebabkan tertekan tiada pekerjaan akibat PKP.
“Kami awalnya memujuk lelaki terbabit namun selepas 15 minit dia masih tidak mahu beralah dan bomba terpaksa mengumpil pintu pagar dan gril rumah berkenaan.
“Kami memotong kunci mangga pintu rumah berkenaan disebabkan lelaki itu mendakwa tidak tahu di mana dia meletakkan kunci tersebut,”
Wanita tersebut ada mengadu kepada jirannya tentang perkara tersebut
Menurut laporan, wanita tersebut ada mengadu kepada jirannya tentang perkara tersebut sebelum suaminya mengalami tekanan lebih teruk dan abangnya terpaksa datang dari Mambau untuk memujuk.
Wanita dan anak-anaknya berusia empat bulan dan lebih setahun bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan. Mereka dihantar ke rumah jiran terdekat dan kami juga dimaklumkan kesemua mangsa tidak makan sejak pagi. Suaminya pula diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Untuk pengetahuan semua, masalah emosi dikenal pasti menjadi isu utama kesihatan mental rakyat pada ketika ini, terutama sejak negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata berdasarkan 8,380 panggilan telefon yang diterima pihaknya setakat semalam, 46.8 peratus berdepan masalah itu.
Selain tekanan perasaan, beliau berkata, mereka juga berasa bimbang dan marah disebabkan pelbagai faktor sosial seperti masalah pendapatan dan kewangan serta perselisihan dengan keluarga. Oleh itu, bantulah saudara dan jiran anda, jika mereka berdepan masalah emosi ini.