Produk krim & toner muka ini dikesan mengandungi racun punca kanser. Ini bahan digunakan

Produk krim & toner muka ini dikesan mengandungi racun punca kanser. Ini bahan digunakan

Kebanyakan orang mendambakan kulit dan penampilan wajah yang cantik dan bersih. Keghairahan untuk menjadikannya realiti telah menyebabkan beberapa produk kosmetik di negara ini mengambil kesempatan, dengan menggunakan bahan terlarang dalam penghasilannya.

Pada 6 April 2021 yang lalu, Ketua Pengarah Kesihatan telah mengeluarkan satu kenyataan akhbar yang menyatakan mengenai produk-produk kosmetik yang dikesan mengandungi racun berjadual.

Kedua-duanya didapati mengandungi racun berjadual

Menurut kenyataan itu, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menegaskan agar orang awam mengelak daripada membeli dan menggunakan produk-produk kosmetik berikut:

  • Beautywise Rejuvenating Cream

  • Beautywise Rejuvenating Toner

Kedua-duanya didapati menngandungi racun berjadual iaitu Hydroquinone dan Tretinoin. Notifikasi produk-produk kosmetik terlibat telah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, KKM.

Oleh itu, produk-produk kosmetik tersebut tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia.

Ini kesan Hydroquinone dan Tretinoin kepada kulit anda

Dalam kenyataan itu dinyatakan bahawa produk yang mengandungi hydroquinone dan tretinoin adalah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan.

Ini kerana bahan-bahan itu boleh menyebabkan kesan sampingan yang tidak diingini. Antara kesan-kesannya adalah seperti berikut:

  • Hydroquinone boleh menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini, kulit menjadi hipersensitif, boleh menghalang proses pigmentasi (depigmentasi) yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar UV merbahaya dan boleh meningkatkan risiko kanser kulit.
  • Penggunaan tretinoin tanpa pengawasan profesional kesihatan boleh menyebabkan bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.

Anda dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya

Penjual dan pengedar produk kosmetik ini perlu menghentikan penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik tersebut dengan serta-merta. Penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik ini adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Manakala sebagai orang awam, anda dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.

Orang awam digalakkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA www.npra.gov.my atau melalui aplikasi ‘NPRA Product Status’ yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store.

Sumber: kpkesihatan.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *