Nak makan ayam penyet yang kurang berminyak dan lebih berkhasiat? Gunakan cara ini

Nak makan ayam penyet yang kurang berminyak dan lebih berkhasiat? Gunakan cara ini

Zaman belajar adalah merupakan zaman di mana kebanyakan dari kita belajar berjimat cermat dari segi kewangan. Iyalah, baru dapat duit di tangan dan kenalah pandai-pandai uruskan kewangan supaya masih ada duit untuk seimbangkan duit untuk assignment dan juga duit makan sehingga hujung bulan.

Jadi, antara makanan seimbang yang menjadi pilihan pada masa tersebut selain dari nasi bujang adalah nasi ayam penyet, yang berasal dari tanah Jawa.

Ia digiling memakai penggiling untuk melembutkannya, disajikan dengan sambal, potongan sayur-sayuran, tauhu goreng dan tempe yang sangat kena dengan citarasa rakyat Malaysia yang sukakan kepedasan.

Tak hairanlah kedai ayam penyet mula di buka di kebanyakan tempat, seperti cendawan tumbuh selepas hujan.

Pecal Lele Padang Jawa, antara kedai ayam penyet paling lama dan dekat di hati pelajar di Shah Alam

Khasiat dalam ayam penyet yang kita tak tahu

Sebelum kita pergi lebih lanjut, jom kita tengok dulu kandungan nasi ayam penyet ni. Ia terdiri dari nasi putih, ayam goreng yang dimasak dengan rempah tersendiri, ulam-ulaman mentah, dan juga sambal pedas istimewa yang menjadi pembuka selera dan membuatkan kita selalu ketagih nak makan.

Hampir sama macam ayam goreng kunyit, ayam penyet ni dibezakan dengan tambahan rempah jintan manis dan jintan putih yang membangkitkan aroma dalam masakan.

Menariknya, kedua-dua jintan manis dan jintan putih mempunyai khasiat tertentu. Jintan manis mampu mengurangkan kembung perut, merawat sembelit, meningkatkan imuniti, dan juga mengawal haid.

Manakala jintan putih pula mengandungi khasiat yang mampu membantu kita menurunkan berat badan, meningkatkan pembentukan sel darah merah, meningkatkan kesuburan, menjaga kesihatan jantung, malah mampu mencuci usus.

Walaupun lebih kurang, tapi rasanya adalah berlainnan. Jangan salah masuk ye!

Walaubagaimanapun, kalorinya juga agak tinggi memandangkan bahan dan ayam penyet digoreng di dalam minyak penuh, begitu juga pembuatan sambalnya yang memerlukan bahan-bahannya digoreng sebelum dan selepas.

Tapi, ada sebenarnya cara untuk menjadikan nasi ayam penyet ni lebih sihat!

Resipi ni sihat sebab:

  1. Nasi yang digunakan adalah jenis beras perang, yang mana lebih berkhasiat dan lebih cepat kenyang. Malah, ia boleh membantu merendahkan paras kolesterol, menggalakkan kekenyangan, melancarkan penghadaman, dan membantu mencegah pembentukan gumpalan darah.
  2. Ayam dan tempe tidak digoreng dengan minyak, sebaliknya dipanggang di dalam ketuhar oven/penggoreng udara (airfryer) selepas dilumurkan garam, kunyit, jintan manis dan jintan putih.
  3. Sayur kobis dan timun yang disediakan mentah adalah lebih segar, tidak hilang nutrisi dan kurang kalori berbanding yang telah dimasak.
  4. Bahan-bahan untuk sambal ditumis menggunakan minyak yang sedikit dan bukan minyak penuh, dan kemudiannya di masak di dalam penggoreng udara.
  5. Tauhu dan tempe sebenarnya bukan saja murah, malah merupakan sumber protein bukan haiwan yang baik, serta mempunyai isoflavon mengandungi kesan anti kanser kerana berupaya untuk menghalang pertumbuhan sel kanser.
  6. Tempe sendiri mempunyai probiotik, sejenis bakteria baik yang membantu pencernaan dan imuniti badan, manakala tauhu mampu menurunkan kadar kolesterol jahat (LDL) di dalam tubuh, tekanan darah tinggi, dan sekaligus mampu meningkatkan kadar kolesterol baik (HDL).

Bahan-bahan ayam penyet sihat:

Untuk sup ayam:

  • Bay leaves (daun salam)
  • Serai dititik
  • Bawang merah
  • 1/2 inci halia
  • 1/2 inci kunyit hidup
  • 1/2 inci lengkuas
  • Garam secukup rasa
  • Ayam segar ambil bahagian dada untuk lebih protein dan kurang lemak.

Untuk perapan ayam, tauhu dan tempe (ditumbuk atau dikisar bersama):

  • 1 sudu kecil jintan manis
  • 1 sudu kecil jintan putih
  • Sebiji bawang merah
  • 1/2 inci kunyit hidup
  • Garam secukup rasa

Untuk sambal ayam penyet sihat:

  • 10 biji cili padi
  •  2 biji cili merah
  • 1 biji bawang merah
  • 2 ulas bawang putih
  • 1 biji tomato
  • 1 cm belacan
  • Garam secukup rasa
  • Sedikit minyak untuk menumis
Sambal yang menjadi pembuka selera.

Cara penyediaan:

  1. Untuk sup ayam, rebus dada ayam bersama kesemua bahan, dan tak perlu tumis terlebih dahulu. Rasanya bukan saja tak jauh beza dengan sup yang ditumis, malah sebenarnya jauh lebih sihat.
  2. Sementara menunggu sup siap, sediakan perapan ayam dengan mengisar atau menumbukkan bahan-bahan seperti di atas.
  3. Bila sup siap dan ayam dah masak, toskan ayam ketepi.
  4. Lumurkan ayam, tauhu dan tempe dengan bahan perapan tadi, dan tunggu selama sekurang-kurangnya setengah jam supaya perapan tadi meresap ke dalam ayam.
  5. Bakar ayam di dalam pemanggang udara selama 5 minit dengan suhu maksima 200°C hanya untuk menggaringkan salutan perapan ayam tadi kerana ayam sudah masak dalam sup tadi.
  6. Sementara menunggu ayam dibakar garing, kita sediakan sambal ayam penyet.
  7. Tumis bawang bersama belacan menggunakan sedikit minyak untuk menaikkan bau. Campurkan cili berserta bahan-bahan lain. Jika sukakan lebih pedas, tambahkan lagi cili mengikut cita rasa masing-masing.
  8. Kemudian masukkan ke dalam pemanggang udara dalam suhu paling minimum selama 5 minit.
  9. Setelah selesai, kisar, atau tumbuk bersama kesemua bahan untuk sambal ayam penyet.
  10. Oh, jangan lupa masak beras perang untuk di makan bersama ayam penyet, sambal dan sup. Tambahkan juga timun, salad Romaine dan kobis segar sebagai ulam-ulaman sesuai untuk hidangan ayam penyet ni, atau mungkin ulam kegemaran anda.

Salah tanggapan terhadap masakan Melayu yang sebenarnya sihat dan berkhasiat

Bila cakap pasal diet dan makanan sihat, kita lebih mudah beranggapan yang makanan barat seperti salad, ikan salmon, oat atau quinoa adalah lebih sihat jika nak dibandingkan dengan makanan Melayu.

Tapi sebenarnya makanan Melayu tak kurang hebatnya, malah memang berkhasiat dan cukup zat dari segi karbohidrat, protein, serat, dalam satu hidangan.

Cumanya, disebabkan makanan kita lebih menyelerakan, jadi lebih mudah untuk kita menambah nasi berpinggan-pinggan kerana kena dengan citarasa Asia kita. Jadi sebenarnya, kita cuma perlu ambik makanan berpada-pada dan masak menggunakan cara yang sihat.

Selamat mencuba!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *