Suami hidup tanpa dua buah pinggang. Wanita ini kongsi kenangan menjaga suami hingga ajal

Pengalaman menjaga orang tersayang sewaktu sakit sentiasa akan menjadi kenamgan manis untuk kita semua. Apabila orang tersayang itu ditakdirkan pergi meninggal kita, semestinya perasaan rindu untuk menjaganya itu datang.
Seperti sebuah video TikTok yang dikongsikan oleh Noorazrina Arshad, dia memilih untuk menyimpan bekalan ubat milik arwah suaminya, Mohd Rizal Samsudin yang meninggal dunia akibat Sindrom Koroner Akut pada 31 Mei lalu.
Setelah beberapa lama, wanita berusia 41 tahun itu terpaksa juga mengembalikan ubat berkenaan kepada Hospital Serdang baru-baru ini. Baginya, perkara ini tidak mudah, tetapi dia mengumpul kekuatan untuk melakukan demikian.
Perkongsian video itu di aplikasi TikTok itu menyentuh hati netizen yang rata-ratanya sebak dan memberi kata-kata semangat buatnya di ruangan komen.
Kedua-dua buah pinggang suaminya dibuang
“Perasaan sedih tetap ada terutama apabila melihat barangan peninggalannya termasuk bekalan ubat berkenaan. Ia kerana saya yang memberi dan menemani arwah makan ubat setiap hari jadi banyak kenangan dengannya.
Selepas pemergiannya, saya tidak dapat lagi melakukan rutin itu dan semalam, saya ambil keputusan kemas dan kumpulkan semua ubat itu untuk diserahkan semula kepada hospital,” katanya
Menurut Harian Metro, suaminya mula mendapat rawatan dialisis buah pinggang sejak November 2019. Namun, disebabkan ada ketumbuhan, doktor mengambil keputusan membuang kedua-dua buah pinggang suaminya ketika pembedahan pada 23 Januari tahun lalu.
“Arwah suami saya selamat menjalani pembedahan tetapi terpaksa hidup tanpa kedua-dua buah pinggang selepas itu. Ramai tidak percaya arwah suami hidup tanpa buah pinggang namun dia mampu bertahan dengan izin Allah.
Keadaannya stabil sehingga mengalami aneurisme yang menyebabkan pendarahan pada otak dan akhirnya meninggal dunia selepas tiga minggu dimasukkan ke wad Hospital Serdang,” katanya.
Noorazrina terharu kerana ramai memberi kata semangat buatnya selepas video dimuat naiknya tular di laman sosial.
Apakah itu Aneurisme Otak?
Seperti dikongsikan KKM, aneurisme adalah pembengkakan seperti belon pada salur darah arteri yang menyalurkan darah ke otak akibat dinding salur darah yang lemah.
Sebilangan besar Aneurisme tidak menunjukkan simptom dan tidak berbahaya sekiranya ia tidak pecah.
Sekiranya pecah, ia boleh menyebabkan pendarahan dalaman yang mengancam nyawa. Tanda dan gejala Aneurisme juga bergantung kepada lokasi dan saiz aneurism samada pecah ataupun tidak.