Tujuh beranak bermalam dalam kereta, sungai jadi tempat mandi. Ini kisah penuh mereka

Tujuh beranak bermalam dalam kereta, sungai jadi tempat mandi. Ini kisah penuh mereka

Tiada siapa yang mahu hidup susah, lagi-lagi ketika pandemik COVID-19 ini datang melanda. Namun, cabaran dan realiti semasa telah menguji ramai orang di luar sana.

Seperti yang berlaku di Taman Mawar Lestari, Selama apabila tujuh beranak terpaksa menjalani kehidupan ala nomad dengan bermalam dan berhimpit dalam Proton Wira sepanjang tiga hari.

Berusia 38 tahun, Saliza Samat serta suami, Mohd Hazrul Haris, 43, menjadikan kereta berkenaan sebagai tempat tinggal sementara bersama lima anak mereka berusia dua tahun hingga 15 tahun.

Suami tidak bekerja kerana kecacatan fizikal dan mental

Menurut laporan Harian Metro, keadaan keluarga ini bertambah sukar apabila Mohd Hazrul yang sebelum ini bekerja sebagai pemandu lori tidak bekerja sejak dua tahun lalu berikutan kecacatan fizikal dan mental dialami manakala dia pula hanya suri rumah.

Semuanya bermula apabila mereka sekeluarga yang sebelum ini menetap di Kuala Selangor, Selangor nekad berhijrah ke kampung halaman Mohd Hazrul di Ulu Mengkuang sejak setahun lalu.

“Namun kami kemudiannya keluar daripada rumah keluarga demi kebaikan semua. Kami keluar dari rumah itu Khamis lalu. Sejak itu, kami tujuh beranak bermalam dalam kereta selain menjadikan sungai serta stesen minyak sebagai lokasi untuk kami mandi, solat dan sebagainya,” katanya.

Menurut Saliza, mereka tidak mampu mencari rumah sewa kerana ketiadaan wang. Dia dan suami sedih dengan keadaan yang perlu dilalui anak-anak namun mereka tiada pilihan.

“Kami sedih mengenangkan nasib ini yang turut perlu dilalui anak-anak, syukur kerana anak faham. Syukur juga kerana ada pihak yang prihatin dengan keadaan kami datang menghulurkan bantuan dengan menyediakan tempat berteduh sementara hingga hari ini,” katanya.

Ketika ini, keluarga Saliza ini telah dibantu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Kinta Muhammad Arafat Varisai Mahamad. Pihaknya menghulurkan bantuan dengan membenarkan keluarga itu berteduh sementara di Pejabat PKR Selama.

Katanya, pihaknya mendapatkan rumah sewa yang akan dihuni keluarga itu bermula hari ini dengan bayaran sewa RM500 sebulan yang dibayarkan pihaknya selama tiga bulan. Pada masa sama, menurutnya, pihaknya turut mendapatkan barangan keperluan rumah dan dapur buat tujuh beranak itu.

Keadaan seperti ini beri impak psikologi kepada kedua ibu bapa

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sudah pasti akan memberi kesan kepada sesiapa sahaja, lebih-lebih lagi mereka yang tinggal di kediaman sempit dan sesak dengan bilangan anak atau ahli keluarga yang ramai.

Tambah merumitkan, kediaman keluarga yang tiada ruang atau halaman untuk menenangkan diri sekali gus mendedahkan mereka kepada impak psikologi terutama tekanan yang mampu membawa kepada kemurungan.

“Impak psikologi yang mungkin dialami ibu bapa atau keluarga termasuklah berada dalam keadaan bimbang sepanjang masa, tidak boleh fokus pada kerja yang dilakukan, cepat marah, sentiasa berfikiran negatif, kurang selera makan

atau terlebih selera, tidak boleh tidur atau terlebih tidur dan paling bahaya ia boleh membawa kepada perasaan ingin membunuh diri.” – kata Dr Norhayati Ibrahim, Pensyarah Psikologi UKM

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *