Tular video suami isteri beri anak 9 bulan minum racun. Ini hasil siasatan oleh pihak polis

Baru-baru ini telah tular sebuah video di Facebook yang memaparkan perlakuan seorang lelaki yang kelihatan kecewa serta tertekan akibat penularan pandemik COVID-19.
Turut terpapar dalam video berdurasi 16 minit tiga saat itu, perlakuan lelaki tersebut yang mendakwa memberi minum racun kepada isteri, anak serta dirinya sendiri sebagai salah satu cara untuk mengawal tekanan.
Pihak polis berjaya menahan pasangan suami isteri tersebut
Akhirnya, pihak polis berjaya menahan satu pasangan suami isteri tersebut di Seremban bagi membantu siasatan. Menurut Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd. Said Ibrahim, susulan laporan itu polis telah menahan pasangan suami isteri tersebut yang masing-masing berusia 29 tahun di sekitar Seremban.
“Satu laporan polis telah diterima berkaitan video yang tular itu kerana boleh menjadi ikutan dan dorongan yang tidak baik dalam masyarakat dan unsur penganiayaan terhadap kanak-kanak. Hasil semakan lanjut mendapati kejadian tersebut berlaku di kawasan Seremban,” katanya.
Seperti yang diperincikan, suspek lelaki ditahan pada pukul 10.50 malam semalam manakala isterinya ditahan pada pukul 3.15 pagi tadi.
“Siasatan lanjut masih diteruskan, dan dalam video yang tular itu turut menunjukkan anak mereka yang berusia sembilan bulan,” katanya.
Pandemik COVID-19 telah meningkat kes kemurungan dalam kalangan rakyat marhaen
Berdasarkan kejadian tersebut, pihak polis menasihatkan masyarakat agar tidak mengambil apa-apa tindakan yang boleh mencetuskan ketidaktenteraman awam kerana boleh diambil tindakan dibawah undang-undang.
Kes tersebut telah disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia dan Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Tidak dapat dinafikan lagi bahawa pandemik COVID-19 telah meningkat kes kemurungan dalam kalangan rakyat marhaen. Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi senarai nombor berikut:
- MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
- Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan)
- KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
- Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929