Tak masuk akal. Ada individu guna alasan agih daging korban untuk ke Pantai Timur

Suasana sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ni tidaklah meriah seperti tahun-tahun sebelum. Dengan jumlah kes harian yang masih tinggi, kita masih tak dibenarkan sesuka hati menyambut perayaan dan diminta duduk di rumah sahaja.
Dalam keterdesakan ini, sesetengah rakyat Malaysia telah menggunakan pelbagai alasan terutamanya pengguna jalan raya yang menghala ke arah Pantai Timur untuk merentas negeri.
Antara alasan tersebut ialah menziarah pekerja cedera, melawat tapak projek dan mahu mengagihkan daging korban.
Sebanyak 780 kenderaan dari Plaza Tol Bentong menghala ke Kuantan diperiksa
Menurut laporan Harian Metro, sehingga jam 1 tengah hari semalam sebanyak 780 kenderaan dan 880 individu yang melalui Sekatan Jalan Raya (SJR) Plaza Tol Bentong menghala ke Kuantan diperiksa.
Supritendan Zaiham Mohd Kahar, Ketua Polis Daerah Bentong mengatakan bahawa melalui pemeriksaan yang dilakukan, sebanyak 39 kenderaan diarahkan untuk pulang semula kerana menggunakan surat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan memaklumkan tujuan pergerakan merentas negeri yang tidak munasabah.
Mengejutkan apabila masih ada individu yang ‘cuba nasib’ menggunakan surat kebenaran daripada MITI untuk merentas negeri walaupun sudah dimaklumkan surat pergerakan tersebut tidak laku dalam tempoh perayaan Aidiladha.
Dalam pada itu, pihaknya menggesa supaya orang ramai bekerjasama dalam mematuhi SOP yang ditetapkan khususnya dalam ketetapan pergerakan rentas negeri dan daerah.
Kelonggaran merentas daerah bagi mereka yang lengkap dua dos vaksin masih dalam perbincangan
Seperti dilaporkan Astro Awani, kerajaan akan memutuskan kelonggaran bagi individu yang lengkap dua dos vaksin pada Mesyuarat Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang terdekat ini.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata keputusan tersebut akan mengambil kira kriteria-kriteria kelonggaran yang akan diberikan kepada kumpulan tersebut. Jelas beliau, ia kemungkinan termasuk mempertimbangkan kebenaran merentas daerah.
“Ini kita akan selesaikan dalam mesyuarat kita minggu depan dan lepas itu kita akan umumkan kepada siapa yang sudah dapat dua, dos apakah kelonggaran yang akan diberikan agar mereka tidak terikat dengan keadaan sebegini begitu lama.
Ini kerana mesti ada kebebasan dan kelebihan terutama untuk keluar walaupun tak rentas negeri, pertama pun rentas daerah dulu selepas itu untuk mereka berbelanja di kedai-kedai,” katanya