13 orang pekerja mati. Varian baharu disyaki tersebar di kilang elektronik tempatan ini

13 orang pekerja mati. Varian baharu disyaki tersebar di kilang elektronik tempatan ini

Varian baru telah beberapa kali muncul menyebabkan kegusaran terhadap COVID-19 semakin bertambah. Di kala kita semua sedang gembira mendapat suntikan vaksin, kemunculan varian pasti membuatkan kita menjadi tanda tanya sama ada ia semakin merbahaya atau sebaliknya.

Baru-baru ini, pihak Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) melaporkan bahawa mungkin terdapatnya jangkitan COVID-19 membabitkan varian baharu ‘variant of concern’ (VOC) di kilang elektronik di Tanjung Agas, Muar.

Bilangan kematian tinggi membabitkan 13 pekerja

Mengulas isu ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan, ia disebabkan bilangan kematian yang dilaporkan adalah tinggi membabitkan 13 pekerja buat masa ini, walaupun masih belum ada pengesahan melalui ujian makmal, setakat ini.

Pihak JKNJ juga turut mengesahkan insiden yang berlaku di kilang elektronik berkenaan yang tular di media sosial membabitkan Kluster Persiaran Agas.

“Kluster Persiaran Agas diisytiharkan pada 9 Julai lalu membabitkan pekerja daripada sebuah kilang elektronik pembuatan semikonduktor di Tanjung Agas, Tangkak.

Sehingga semalam, jumlah kes yang dilaporkan di dalam kluster ini adalah sebanyak 462 kes dengan sejumlah 13 kematian dilaporkan membabitkan kluster berkenaan, setakat ini.”

Lebih terperinci lagi, melalui data dari bilangan itu seramai 207 (44.8 peratus) orang membabitkan pekerja kilang itu, di mana 155 adalah warga tempatan, manakala 52 kes adalah di kalangan bukan warganegara.

Sebanyak 255 kes lain adalah kes yang dilaporkan di kalangan ahli keluarga dan kenalan pekerja-pekerja kilang itu.

Apakah itu Variant Of Concern?

Pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) setakat ini telah mengenal pasti empat varian yang perlu diperhatikan (variant of concern).

  • B.1.1.7 pertama kali dikenal pasti di UK pada September 2020. Ia dikaitkan dengan peningkatan jangkitan, namun penggunaan vaksin adalah berkesan terhadap varian ini. Menurut WHO, varian itu telah dilaporkan menular ke 149 negara sejak 11 Mei.
  • B.1.351 pada awalnya dikenal pasti di Afrika Selatan pada Mei 2020. Ia dikaitkan dengan peningkatan jangkitan dan keberkesanan vaksin yang berkurang, dan berpotensi menjangkiti bekas pesakit Covid-19. Varian ini sudah dikenal pasti di 102 negara.
  • Varian B.1.1.28.1 (juga dikenali sebagai P.1) dikesan di Jepun pada November 2020 menerusi pengembara yang tiba dari Brazil. Ia berkongsi sifat yang serupa dengan B.1.351 dan telah dilaporkan di 60 negara.
  • Varian B.1.617 pertama kali dikesan di India pada 2020 Oktober, namun hanya menjadi perhatian susulan penularan yang meningkat dalam negara itu.

Ia sebenarnya merujuk kepada tiga sub-varian – B.1.617.1, B.1.617.2 dan B.1.617.3. B.617, kelihatan lebih cepat menular daripada B.1.1.7. Beberapa laporan juga menyatakan bahawa ia boleh menyebabkan penyakit yang lebih teruk daripada varian yang sedia ada.

Ia mungkin memiliki beberapa kemampuan untuk mengelak antibodi dari vaksin namun tidak cukup untuk menjadikan vaksin tidak berkesan. B.1.617 telah dilaporkan di 44 negara pada 11 Mei.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *