Tular video potong gelang ‘pink’. Remaja perempuan ini dikesan mahu bersiar-siar

Tular video potong gelang ‘pink’. Remaja perempuan ini dikesan mahu bersiar-siar

Pelbagai sistem telah diperkenalkan bagi memudahkan urusan mengesan pesakit dan kontak rapat COVID-19. Salah satunya adalah melalui sistem memakai gelang yang diperkenalkan KKM bagi mereka yang diarahkan kuarantin kendiri.

Malangnya, arahan semudah itu masih lagi dilanggar oleh sebahagian orang yang tidak bertanggungjawab. Sebelum ini telah tular sebuah video yang menunjukkan seorang remaja prempuan menanggalkan gelang merah jambu.

Menanggalkan gelang merah jambu untuk keluar bersiar-siar

Video TikTok berdurasi 31 saat itu memaparkan seorang remaja yang memakai topi keledar menanggalkan gelang merah jambu di sebuah kediaman. Dikatakan juga tindakan itu dibuat kerana mahu keluar bersiar-siar.

Pihak polis telah menyiasat video tersebut dan berajaya mengesan lokasi remaja terbabit yang didapati menanggalkan gelang kuarantin tanpa kebenaran KKM.

Dilaporkan bahawa remaja terbabit menjalani ujian calitan pada Sabtu lalu dan keputusannya masih belum diperolehi. Video dalam kejadian itu berlaku ketika remaja tersebut singgah di rumah rakannya di kawasan Kamunting.

Tindakan remaja perempuan menanggalkan gelang merah jambu untuk keluar bersiar-siar membawa padah apabila dia dikompaun polis sebanyak RM5,000.

Menurut Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat ,kompaun dikenakan kerana remaja itu melakukan kesalahan di bawah Peraturan 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021.

Individu yang dipakaikan gelang kuarantin ini tidak boleh keluar rumah

Untuk maklumat semua, Kementerian Kesihatan telah menetapkan lima warna gelang berbeza untuk dipakai individu yang perlu menjalani kuarantin mengikut stok dan kawasan pemantauan.

Warna gelang tersebut ialah merah jambu, putih, biru, merah dan kuning yang dipakaikan kepada individu yang menjalani tempoh kuarantin.

Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) akan menulis nama, tempat dan tarikh saringan dilakukan pada gelang berkenaan sebelum dipakaikan kepada individu terbabit untuk menjalani tempoh kuarantin.

“Individu yang dipakaikan gelang kuarantin ini tidak boleh keluar rumah sehingga tempoh kuarantin tamat, kecuali bagi ketua keluarga. Gelang kuarantin itu hanya boleh dipotong oleh pihak PKD selepas tempoh kuarantin tamat.

“Sekiranya ada individu dengan gelang kuarantin berada di kawasan umum, ia perlu dilaporkan kepada polis bagi melindungi masyarakat daripada risiko jangkitan COVID-19,” – kata Dr Noor Hisham

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.