Produk kecantikan ekstrak kunyit ini disahkan mengandungi racun. Ini bahan digunakan

Sebuah kenyataan akhbar telah dikeluarkan Ketua Pengarah Kesihatan, Dr. Noor Hisham Abdullah pada Mac 2021 lalu berkaitan Produk Kosmetik FS Turmeric Cream Dikesan Mengandungi Racun Berjadual.
Menurut kenyataan itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin menggesa orang awam untuk mengelak daripada membeli dan menggunakan FS Turmeric Cream yang telah dikesan mengandungi racun berjadual, merkuri dan Betamethasone 17-valerate.
Pendaftaran produk ini telah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi. Oleh sebab itu, produk kosmetik tersebut tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia.
Bahan tersebut boleh menyebabkan kesan-kesan sampingan yang tidak diingini
Produk FS Turmeric Cream dilaporkan mengandungi betamethasone 17-valerate. Ia adalah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan.
Tanpa pengawasan oleh pihak profesional kesihatan, penggunaan produk yang mengandungi bahan tersebut boleh menyebabkan kesan-kesan sampingan yang tidak diingini seperti berikut:
- Betamethasone 17-Valerate boleh menyebabkan bahagian kulit muka yang disapu menjadi nipis dan mudah mengalami iritasi, berjerawat, perubahan pada pigmentasi kulit dan meningkatkan risiko untuk diserap ke dalam sistem peredaran darah yang boleh membawa kesan mudarat.
- Merkuri dilarang di dalam produk kosmetik kerana boleh memudaratkan kesihatan. Ia boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf. Ia juga boleh menganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan. Merkuri juga boleh menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit.
Pengguna produk ini dinasihatkan berhenti menggunakannya
Orang awam yang sedang menggunakan produk ini dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.
Maklumat status pendaftaran bagi sesuatu produk boleh dibuat dengan melayari laman sesawang rasmi, NPRA http://npra.moh.gov.my/ atau melalui aplikasi ‘NPRA Product Status’ yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store.