“Kusut masai dan air mata berjurai-jurai.” Polis sedang mencari kanak-kanak mangsa dera ini

“Kusut masai dan air mata berjurai-jurai.” Polis sedang mencari kanak-kanak mangsa dera ini

Kehidupan semasa seseorang dalam peringkat kanak-kanak merupakan saat berseronok dan bergembira. Seorang kanak-kanak itu akan terus belajar satu persatu ilmu dan pengalaman hidup di dunia ini.

Tapi tidak semua berdepan pengalaman yang sama. Ada dalam kalangan kita yang kurang bernasib baik kerana dijaga oleh ibu bapa yang bermasalah dan tidak bertanggungjawab. Ia juga boleh mendatangkan kesakitan fizikal dan mental jika melibatkan penderaaan.

Kanak-kanak perempuan itu kusut masai dan menangis

Inilah yang berlaku kepada seorang kanak-kanak di kawasan sekitar Chow Kit baru-baru ini apabila tular di media sosial cerita mengenainya. Dalam perkongsian itu, didakwa bahawa seorang lelaki telah melakukan penderaan terhadap seorang kanak-kanak perempuan.

Menurut perkongsian itu lagi, bapa mangsa merupakan seorang penagih dadah yang kematian isteri. Diceritakan juga bahawa kanak-kanak perempuan tersebut berada dalam keadaan kusut masai dan air mata berjurai-jurai.

Keadaan di bawah matanya membengkak serta membiru ketika kanak-kanak itu menerpa dalam keadaan ketakutan ke arah penulis yang berkongsi kisah ini.

Apa yang mengejutkan, bapa mangsa turut meletakkan harga RM6,000 untuk membayar harga kanak-kanak malang tersebut sebaik penulis FB itu meminta untuk menyerahkannya.

Wanita yang berkongsi kisah tersbeut telah melaporkan kepada polis dan kereta peronda polis (MPV) dari Dang Wangi telah tiba di lokasi kejadian.

Akhirnya, lelaki terbabit yang merupakan bapa mangsa telah disoal siasat dan ketika itu kanak-kanak tersebut sedang memeluk erat serta memberitahu tidak mahu mengikuti lelaki berkenaan.

Namun, kejadian tidak diingini berlaku apabila lelaki tersebut telah merentap dengan kasar dan memarahi kanak-kanak tersebut ketika penulis FB yang juga pegawai JKM sedang menemu bual anak itu.

Kanak-kanak tersebut terpaksa mengikuti lelaki terbabit dalam keadaan tidak rela.

Polis sedang mengesan mangsa termasuk lelaki dipercayai bapanya

Susulan daripada laporan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengesan seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun dipercayai menjadi mangsa dera bapanya di sekitar kawasan Chow Kit baru-baru ini

Difahamkan juga, kanak-kanak malang tersebut dipercayai telah dilarikan bapanya ketika pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hendak menemu bual mangsa.

Menurut Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak Bukit Aman (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, pihaknya telah menerima laporan berhubung kejadian membabitkan mangsa pada Sabtu lalu.

Pengadu tersebut merupakan seorang  pegawai JKM yang mendapat maklumat daripada orang awam bahawa mangsa bersama neneknya didapati merayau di kawasan Chow Kit untuk mengemis.

Berdasarkan laporan itu, pegawai JKM telah ke lokasi kejadian untuk menyelamatkan mangsa namun telah dibawa lari oleh seorang lelaki dipercayai bapa mangsa.

Pihak JKM telah menjalankan siasatan di bawah Seksyen 32 Akta Kanak-Kanak 2001 kerana membenarkan kanak-kanak di bawah jagaan berada di jalanan atau mana-mana premis bagi tujuan mengemis atau meminta sedekah.

Pihak PDRM juga sedang mengesan mangsa termasuk lelaki dipercayai bapanya dan neneknya untuk siasatan lanjut.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *