Dibalas dengan soalan lucah. Wanita dedah di TV, gangguan seksual oleh pendakwah terkenal

Dibalas dengan soalan lucah. Wanita dedah di TV, gangguan seksual oleh pendakwah terkenal

Program bual bicara yang teluas dan jujur banyak memberi impak kepada tahap mentaliti masyarakat kita. Antara program bual bicara terkenal adalah Analisis Finaz Yunus yang membuka peluang kepada perbincangan dan pendedahan secara terbuka.

Baru-baru ini, menerusi program tersebut, seorang wanita dikenali sebagai Diana (bukan nama sebenar) telah membuat pengakuan bahawa dirinya menjadi mangsa jenayah seksual kepada seorang pendakwah terkenal.

Dia dibalas dengan soalan lucah menyebabkan dia berasa teraniaya

Melalui wawancara tersebut, Diana menceritakan telah menghubungi pendakwah berkenaan untuk bertanyakan mengenai masalah yang menimpa dirinya. Malangnya, dia dibalas dengan soalan lucah menyebabkan dia berasa teraniaya.

Apa yang menyedihkan, wanita berkenaan mendakwa suami dan ahli keluarga tidak mempercayainya apabila dia menceritakan perkara yang terjadi.

Susulan daripada pendedahan tersebut, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam laporan Utusan Malaysia meminta wanita yang mendakwa menjadi mangsa gangguan seksual berkenaan tampil membuat laporan polis.

Menurut  Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan, dalam wawancara yang berlangsung itu, identiti sebenar mangsa dan pemangsa tidak didedahkan.

Jadi seeloknya individu yang mendakwa menjadi mangsa tampil ke hadapan. Kita tidak tahu siapa pendakwah terkenal yang dimaksudkan mangsa dalam wawancara itu memandangkan ramai pendakwah terkenal di Malaysia.

Ini kerana hanya mangsa yang mengenali siapakah pendakwah terkenal yang dimaksudkan. Dia perlu datang untuk membuat laporan polis untuk membolehkan siasatan lanjut dijalankan dengan segera.

Apakah itu jenayah seksual?

Kadangkala, sesetengah daripada kita kurang mengetahui maksud gangguan seksual sehingga tidak sedar telah menjadi mangsa atau pemangsa.

Jika dilihat dari segi definisi, gangguan seksual adalah salah satu perlakuan tidak bermoral yang dilakukan oleh seseorang terhadap seseorang yang lain.

Kebiasaannya perlakuan ini dilakukan oleh individu yang lebih berkuasa dan mengalami ketidaksejahteraan psikologi. Kelompok ini biasanya mengalami permasalahan hidup, keluarga dan perhubungan yang kurang stabil. Terdapat beberapa kategori seperti berikut:

  • Cubaan untuk merapati orang lain secara seksual
  • Meminta layanan seksual daripada orang lain
  • Gangguan seksual yang mengugut
  • Gangguan seksual yang menyinggung atau menghina

Oleh itu, jika anda telah menjadi mangsa, sila laporkan kepada pihak berkuasa untuk mendapatkan keadilan yang sewajarnya. Jangan takut dan mendiamkan diri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *