Selepas pulang berbasikal, lelaki ini pengsan dan meninggal dunia. Ini punca kematiannya

Selepas pulang berbasikal, lelaki ini pengsan dan meninggal dunia. Ini punca kematiannya

Ajal dan maut semuanya ditentukan oleh Tuhan Maha Mencipta. Namun, setiap kematian mempunyai sebab tertentu untuk ia menimpa seseorang.

Begitulah yang berlaku kepada seorang lelaki berusia 52 tahun yang meninggal dunia di hadapan rumahnya di Taman Mutiara, Sungai Kob, Kulim, Kedah baru-baru ini.

Baru pulang daripada kayuh berbasikal

Dilaporkan kejadian tersebut berlaku pada jam 7.10 pagi yang mana mangsa baru pulang daripada kayuh basikal di kawasan sekitar rumahnya.

Apa yang mengejutkan, setibanya di hadapan rumah mangsa melakukan senaman ringan sebelum dia secara tiba-tiba jatuh dan pengsan. Lantas, beberapa ahli keluarga mangsa cuba memberi bantuan pernafasan (CPR) sebelum mereka menghubungi ambulans.

Menurut Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Sazalee Adam berkata, kakitangan hospital yang tiba mendapati mangsa sudah meninggal dunia.

Katanya lagi, siasatan mendapati mangsa mempunyai sejarah kencing manis dan darah tinggi dan dia sudah menerima dua dos vaksin sebelum ini.

Selepas pemeriksaan lanjut, didapati mangsa sebelum ini pernah dijangkiti COVID-19 pada 28 Ogos lalu dan sembuh selepas menjalani kuarantin selama 14 hari.

Setakat ini siasatan mendapati tiada unsur jenayah berlaku dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut. Jenazah dihantar ke hospital untuk bedah siasat bagi mengenalpasti punca kematian mangsa.

Apakah itu Sindrom Post COVID (Long COVID)?

Bercakap mengenai seseorang yang pernah terkena COVID-19 dan sembuh semula, ia sebenarnya dikaitkan dengan simptom Post COVID atau Long COVID.

Pihak The National Institute for Health and Care Excellence (NICE), United Kingdom sebelum ini telah pun mengeluarkan satu garis panduan mengenai Long COVID atau dikenali sebagai Sindrom Post Covid.

Untuk pengetahuan semua, sindrom ini merupakan suatu keadaan di mana bekas pesakit COVID-19 masih menunjukkan gejala-gejala bagi tempoh 12 minggu atau lebih dan gejala-gejala tersebut tidak dapat dijelaskan dengan sebarang diagnosis alternatif.

Situasi ini berdasarkan kajian berpunca daripada komplikasi jangkitan COVID-19 terhadap fungsi pelbagai organ dalam tubuh seseorang individu.

Manakala di Malaysia, data data klinikal menunjukkan majoriti pesakit COVID-19 mampu sembuh sepenuhnya. Namun begitu, perlu diingat bahawa terdapat segelintir yang terkesan dengan Sindrom Post COVID.

Berdasarkan kajian oleh KKM melibatkan 1,004 pesakit dari kategori 4 dan 5 yang menerima rawatan susulan, didapati 66 peratus daripada pesakit ini mengalami Sindrom Post COVID.

Terdapat lima (5) simptom yang sering dihadapi oleh bekas pesakit COVID-19 iaitu:

  • kelesuan (fatigue)
  • kesukaran bernafas apabila melakukan aktiviti (exertional dyspnea)
  • sukar tidur malam (insomnia)
  • batuk (cough)
  • kegelisahan (anxiety)

Oleh itu, mari kita terus menjaga diri, keluarga dan orang sekeliling agar jangkitan COVID-19 dapat dibendung sepenuhnya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *