Pemilik restoran Tom Yam ini didenda RM10,000 kerana buang sampah. Ini sebabnya

Pemilik restoran Tom Yam ini didenda RM10,000 kerana buang sampah. Ini sebabnya

Persekitaran yang bersih merupakan salah satu faktor yang menyumbang kepada kehidupan masyarakat yang sihat. Jika terdapat individu yang tidak bermoral seperti mereka yang sesuka hati membuang sampah sisa pepejal merata-rata, pastinya menjadi punca kawasan persekitarn kita menjadi kotor.

Sikap negatif ini masih lagi menebal dalam masyarakat kita. Akibatnya, ada juga yang dibawa ke muka pengadilan kerana sikap sebegini walaupun jarang didengari.

Pemilik restoran tom yam didenda RM10,000

Di Kuantan baru-baru ini, seorang  pemilik restoran berumur 35 tahun didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen setelah mengaku bersalah kerana membuang sisa pepejal di lokasi haram.

Dilaporkan bahawa Hakim Mohd Kafli Che Ali menjatuhi hukuman itu selepas pertuduhan dibacakan terhadap Mohd Zulhairi Razali yang mengusahakan perniagaan tom yam dan makanan laut.

Berdasarkan kes, kejadian ini berlaku pada 21 Julai tahun lalu apabila Mohd Zulhairi dituduh membuang sampah iaitu sisa pepejal komersial di satu lokasi di Jalan Kuantan-Pintasan, kira-kira jam 12.40 pagi.

Pendakwaan ini telah dilakukan oleh Pegawai Pendakwaan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang Muhammad Fadhli Syam Ramli manakala Zulhairi tidak diwakili peguam.

Pemilik restoran itu  didakwa mengikut Seksyen 71 (1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 yang memperuntukkan denda RM10,000 hingga RM100,000 atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan

Boleh menjadi punca sampah melimpah ke jalanan

Menurut pegawai SWCorp Pahang,  kes itu adalah untuk kepentingan awam dan kerajaan mengeluarkan perbelanjaan yang besar untuk menguruskan sisa pepejal di negara ini.

Laporan terperinci kes mendapati, pada hari kejadian, tiga individu ditahan ketika membawa beg plastik hitam yang mengandungi sisa pepejal dan melonggokkannya di lokasi terbabit.

Lokasi terbabit bukan kawasan yang dibenarkan untuk pelupusan sisa pepejal terkawal. Mereka, dua daripadanya warganegara Thailand dan seorang warga tempatan yang bekerja di restoran itu memaklumkan, mereka membuang sampah itu atas arahan majikan.

Untuk pengetahuan semua, tindakan seperti ini berkemungkinan menyebabkan sisa sampah melimpah ke jalanan atau lantai kawasan dan lama kelamaan ia mula membusuk.

Lalu, menghasilkan air larut resapan mengalir ke dalam longkang yang kemudian disalurkan ke sungai berhampiran. Implikasi daripada kualiti air, bau dan nilai estetik sungai menyusut atau terjejas. Begitulah kitarannya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *