Tiada pengaruh dadah, lelaki ini tiba-tiba pengsan ketika memandu akibatkan kemalangan

Bak kata pepatah, malang itu tidak berbau. Kemalangan boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja tanpa kita bersedia menghadapinya. Begitu juga, kemalangan ketika memandu kenderaan di jalan raya.
Baru-baru ini, telah berlaku kemalangan di Taman Jenaris, Kajang, Selangor. Apa yang mengejutkan, pemandu itu tiba-tiba sahaja pengsan ketika sedang memandu.
Tiada pengaruh alkohol dan dadah ketika memandu
Akibatnya, pemandu tersebut telah masuk ke laluan bertentangan dan melanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza, sebelum melanggar rumah kedai.
Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, kejadian itu terjadi pada jam 6 petang dan lelaki tersebut memandu Toyota Hilux dalam perjalanan dari arah sebuah pasar raya menuju ke Kajang.
Katanya lagi, apabila tiba di lokasi kejadian, lelaki tersebut telah pengsan ketika memandu, kemudian dia panik dan terjadilah kemalangan di lokasi tersebut
Pihak polis telah menjalankan ujian kepada pemandu tersebut. Hasil ujian mendapati pemandu itu tidak memandu di bawah pengaruh alkohol, manakala ujian urin terhadap pemandu itu negatif.
Pihak polis mengesyaki bahawa pemandu tersebut memandu dalam keadaan perut kosong sehingga menyebabkan dia pengsan. Kedua-kedua pemandu yang terlibat kemalangan bernasib baik serta selamat dari sebarang kecederaan. Hanya berlaku kerosakan kenderaan.
Isi perut sebelum memandu jika tidak larat
Nasib baik tiada kecederaan yang berlaku. Diingatkan kepada semua pemandu untuk sentiasa berhati-hati, isi perut sebelum memulakan perjalanan. Jangan memandu dalam keadaan yang tidak sihat dan tidak peka.