Didakwa jumpa petunjuk baru penculikan. Polis ambil keterangan bapa Nurin Jazlin

Didakwa jumpa petunjuk baru penculikan. Polis ambil keterangan bapa Nurin Jazlin

Jika ditanya kepada rakyat Malaysia, pasti ramai yang ingat mengenai kes pembunuhan kejam melibat adik Nurin Jazlin Jazimin. Walaupun sudah 14 tahun berlalu, ia masih segar dalam ingatan kita semua.

Baru-baru ini, bapa kepada adik Nurin telah tampil berkongsi petunjuk baru kepada pihak polis.

Polis terima maklumat baru mengenai kes Nurin

Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak pernah menutup kes pembunuhan kejam Nurin Jazlin Jazimin. Siasatan lebih teliti akan terus dilakukan jika ada petunjuk baru mengenai kes ini.

Terbaru, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim memaklumkan pegawai penyiasat kanan sudah memanggil bapa mangsa untuk dirakam keterangan susulan laporan polis yang dibuatnya berkenaan petunjuk baharu.

Dilaporkan, pihaknya meminta seorang individu warga Indonesia yang dikatakan mempunyai maklumat mengenai kes itu tampil membantu siasatan.

Beliau turut menegaskan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dilakukan mengesahkan ia milik kanak-kanak, Nurin Jazlin Jazimin.

Sementara itu, bapa mangsa, Jazimin berkata, dia telah menyerahkan maklumat terbaharu termasuk gambar diberikan warga Indonesia mendakwa kemungkinan itu adalah suspek penculikan anaknya.

Pegawai polis akan menyiasat maklumat terbaharu dan akan menyemak sama ada lelaki terbabit masih bekerja dalam bidang perkapalan. Malah pegawai penyiasat akan pergi ke Indonesia jika perlu bagi menyelesaikan kes ini.

Bapa Nurin masih berharap kes ini diselesaikan

Dakwanya, berdasarkan maklumat terbaru itu, seorang lelaki Indonesia yang bekerja dalam bidang perkapalan dikatakan menculik Nurin Jazlin dan membawanya ke negara jiran.

Menurut Jazimin lagi, dia berharap kes ini dapat diselesaikan demi menuntut keadilan buat anaknya.  Terdahulu, bapa mangsa tetap dengan pendirian bahawa mayat yang dijumpai bukan milik Nurin Jazlin.

Ini berdasarkan saiz gigi yang berbeza, tahi lalat hidup di paha dan ketiadaan parut suntikan pelalian Bacillus Calmette–Guerin (BCG).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *