Hanya 3% rakyat mampu tampung persaraan selepas keluarkan simpanan KWSP. Ini sebabnya

Negara kita ketika ini sedang berada dalam fasa pemulihan selepas dua hingga tahun kita berjuang melawan COVID-19. Kesan daripada susah payah sebelum ini, nampaknya telah memberi kesan yang pelbagai sama ada positif atau pun negatif.
Bagi pihak Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), mereka menyatakan bahawa COVID-19 sejak dua tahun lalu telah memberi kesan yang besar kepada simpanan pencarum dengan hanya tiga peratus pencarum mampu menampung kehidupan selepas bersara.
Ramai yang akan mencapai umur 60 tahun
Menurut Ketua Pegawai Strategi KWSP, Nurhisham Hussein, ramai ahli berumur di bawah 55 tahun mempunyai simpanan KWSP yang amat rendah susulan pengeluaran berkaitan COVID-19, iaitu i-Sinar, i-Lestari dan i-Citra.
Perlu kita ingat, dengan pandemik COVID-19 ini yang belum selesai, 80 peratus lelaki Malaysia dan 90 peratus wanita Malaysia akan mencapai umur 60 tahun, manakala satu daripada tiga lelaki dan dua daripada tiga wanita akan mencapai umur 80 tahun.
Berdasarkan fakta itu, pihak KWSP menganggarkan hanya tiga peratus rakyat Malaysia yang mampu untuk bersara. Selain itu, menjelang akhir tahun ini, 54 peratus ahli KWSP berumur 54 tahun akan mempunyai kurang daripada RM50,000 dalam akaun simpanan mereka.
Majoriti mereka yang mengeluarkan keseluruhan simpanan KWSP apabila mencecah umur 55 tahun akan menggunakannya dalam tempoh dua hingga tiga tahun.
Perlu bekerja empat hingga enam tahun lagi
Seperti yang kita tahu, pengeluaran-pengeluaran ini adalah dibenarkan disebabkan keadaan yang luar biasa.
Pihak KWSP amat bersimpati dengan nasib ahli pencarumnya dan berharap pengeluaran itu telah mencapai tujuan yang dimaksudkan untuk membantu mereka dari segi kewangan.
Menurut Nurhisham Hussein lagi, jika satu lagi pusingan pengeluaran dibenarkan, bagi yang telah membuat pengeluaran daripada simpanan KWSP, mereka perlu bekerja untuk tambahan empat hingga enam tahun hanya untuk menampung jumlah yang mereka keluarkan sejak dua tahun lalu.
Jika tidak, mereka tidak akan mempunyai simpanan yang cukup untuk bersara memandangkan had umur persaraan dijangka tidak dinaikkan.