18 Pelajar UPNM Didapati Bersalah Kes Bunuh Zulfarhan. Ini Hukuman Yang Bakal Diterima

18 Pelajar UPNM Didapati Bersalah Kes Bunuh Zulfarhan. Ini Hukuman Yang Bakal Diterima

Universiti adalah puncak tertinggi dalam dunia akademik. Anak-anak kita pastinya sentiasa berimpian untuk ke sana suatu hari nanti jika diberi peluang.

Walaupun universiti menyediakan tempat untuk seseorang menuntut ilmu, masih ada di kalangan pelajar yang tidak memanfaatkan peluang itu sebaiknya.

Lebih teruk lagi, universiti menjadi tempat membuli dan membunuh seperti yang berlaku di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Enam tertuduh didapati bersalah

Seperti dilaporkan Astro Awani, lapan belas penuntut UPNM didapati bersalah atas pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh, dan mencederakan Pegawai Kadet Laut UPNM Zulfarhan Osman Zulkarnain.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azman Abdullah ketika membacakan keputusan itu pada Selasa berkata, enam tertuduh didapati bersalah di bawah Seksyen 304 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan bersubahat membunuh arwah.

Manakala 12 yang lain pula didapati bersalah di bawah Seksyen 330 Kanun Keseksaan kerana mencederakan Allahyarham. Enam tertuduh itu ialah:

  • Muhammad Akmal Zuhairi Azmal
  • Muhammad Azamuddin Mad Sofi
  • Muhammad Najib Mohd Razi
  • Muhammad Afif Najmudin Azahat
  • Mohamad Shobirin Sabri
  • Abdoul Hakeem Mohd Ali.

Ketika ini mahkamah berehat sebentar dan Hakim akan mengumumkan hukuman dikenakan kepada semua tertuduh selepas mahkamah bersidang semula.

Pada 18 April lalu,  pembelaan menutup kesnya selepas memanggil 18 penuntut UPNM dan dua saksi lain iaitu Ketua Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh Dr Rohayu Shahar Adnan dan penuntut UPNM Muhammad Alif Farhan Aerosni pada prosiding membela diri yang bermula 2 Okt 2019.

Pendakwaan telah mengemukakan 31 orang saksi termasuk Pakar Perubatan Forensik Hospital Serdang Dr Salmah Arshad serta dua saksi yang melihat perbuatan menekap seterika wap ke badan mangsa iaitu Ahmad Senabil Mohd dan Mohd Syafiq Abdullah, kedua-duanya penuntut UPNM, pada perbicaraan yang bermula 29 Jan 2018.

Memperuntukkan hukuman mati mandatori

Jika kita mengikuti kes ini, perbuatan mencederakan mangsa didakwa dilakukan di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 4.45 pagi hingga 5.45 pagi, 22 Mei 2017.

Pertuduhan adalah di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan manakala Abdoul Hakeem didakwa mengikut Seksyen 109 kanun sama yang membawa hukuman serupa.

Mereka dituduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa, untuk mendapatkan pengakuan bahawa dia telah mencuri komputer riba, mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di dalam bilik 03-05, blok penginapan asrama Jebat universiti itu di Kem Perdana, Sungai Besi antara 2.30 pagi hingga 5.30 pagi 21 Mei 2017. Zulfarhan Osman meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *