Selalu dipandang enteng, ini maksud warna lendiran dari faraj wanita yang perlu diketahui

Selalu dipandang enteng, ini maksud warna lendiran dari faraj wanita yang perlu diketahui

Ya, memang perkara mengenai alat sulitselalu dipandang enteng oleh kita semua. Perkara ini dianggap taboo dan ramai wanita  mengalami masalah lendiran dari faraj malu untuk mengutarakan masalah mereka. Sebagai seorang wanita yang ingin kekal sihat, anda perlulah mengambil peduli mengenai maksud warna lendiran dari faraj anda. Lendiran faraj tersebut boleh jadi normal ataupun tidak normal.

DARI MANA DATANGNYA LENDIRAN DARI FARAJ

Lendiran faraj datang dari satu kelenjar yang terletak di dalam faraj dan juga serviks wanita. Lendiran ini berfungsi untuk membersihkan sel-sel mati dan bakteria yang terdapat dalam faraj serta mengalakkan pembersihan faraj secara semulajadi. Dan, yang paling penting lendiran yang normal ini adalah untuk mengelakkan berlakunya infeksi.

Setiap wanita punyai pelbagai bentuk tubuh, begitupun dengan lendiran yang keluar dari farajnya. Setiap lendiran yang keluar mempunyai maksud tersirat tertentu-tentu dan perlu diketahui oleh setiap wanita. Ianya akan menjadi lebih serius apabila anda mendapati adanya perubahan terhadap kondisi faraj anda, sama ada perubahan dari warna, bau dan keadaan faraj.

APAKAH SEBENARNYA YANG SEBABKAN LENDIRAN ABNORMALITI PADA FARAJ? 

Mengikut WebMd, lendiran faraj boleh berubah disebabkan oleh:-

  • Pengambilan antibiotik
  • Jangkitan bakteria
  • Pengambilan pil perancang kehamilan
  • Jangkitan kulat
  • Kencing manis
  • Penyakit kelamin

MAKSUD WARNA LENDIRAN DARI FARAJ WANITA

Via Daye
  • Putih lutsinar

Wanita yang normal akan mempunyai warna lendiran yang putih seperti putih telur, ianya tidak mempunyai warna dan boleh dikatakan lutsinar. Jenisnya juga melekit dan tidak berbau. Keadaan ini juga menunjukkan wanita tersebut mengalami ovulasi,

  • Putih seperti keju

Lendiran ini selalunya keluar berketul-ketul seperti keju. Jika anda mengalami kegatalan pada faraj, cepat-cepatlah berjumpa dengan doktor sakit puan kerana faraj anda mungkin dijangkiti kulat. Selalunya juga, lendiran faraj yang keluar sebegini hasil dari pengambilan antibiotik. Apapun, untuk penelitian, terus jumpa doktor sahaja ya jika faraj anda gatal dan pedih.

  • Kelabu/Putih dan berbau seperti ikan busuk

Untuk keadaan lendiran faraj seperti ini, anda perlulah berwaspada kerana anda mungkin dijangkiti bakteria jahat iaitu bacterial vagonosis (BV). Mengikut MOH, di dalam faraj seseorang wanita terdapat bakteria ‘baik’ (lactobacillus) yang bertugas mengimbangi keadaan asidik sejurus memberi pelindungan dalam faraj dari bakteria yang berbahaya. BV terhasil apabila bakteria ‘jahat’ seperti Gardnerella vaginalis dan genital mycoplasma tumbuh lebih banyak dari bakteria ‘baik’ lactobacillus. Wanita berisiko tinggi untuk mendapat BV termasuk wanita yang muda (remaja), pengamal vaginal douching (kerap membasuh faraj dengan air atau sabun), IUCD (alat mencegah mengandung dalam rahim) dan mereka yang mempunyai ramai pasangan seks.

50% daripada BV tiada gejala. Bagi mereka yang mengalami gejala, selalunya akan mempunyai lendiran putih-keputihan yang banyak dan berbau busuk. Gejala ini lebih teruk selepas hubungan seksual atau selepas haid. Faraj dan kawasan kemaluan selalunya tidak bengkak.

  • Kuning atau hijau

Untuk lendiran yang berwarna kuning atau hijau terutama jika ianya bersifat kental dan berbau busuk, anda mungkin mengalami jangkitan yang tersebar melalui hubungan seks seperti penyakit gonorrhea ataupun trichomoniasis. Sila berjumpa dengan doktor anda, kerana jangkitan ini boleh menyebabkan kompilasi kepada rahim anda.

  • Berwarna merah

Kadangkala lendiran yang berwarna merah ini hadir apabila tiba masanya untuk datang haid ataupun selepas haid. Namun pun begitu, jika ianya berlaku pada pertengahan kitaran haid anda, anda mungkin mengalami ovulasi ataupun punyai masalah kesihatan yang serius seperti kanser serviks, polips pada dinding rahim ataupun jangkitan serviks lainnya.

Untuk kepastian yang lebih utuh, segeralah berjumpa dengan doktor jika anda merasakan ada sesuatu yang tidak normal pada lendiran faraj atau keadaan faraj anda. Jagalah kesihatan dalaman anda, usah lagi malu untuk mendapatkan nasihat pada mereka yang arif kerana faraj adalah bahagian tubuh badan kita yang perlu dipelihara!

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *