Musim banjir masih belum reda. Hati-hati, ini penyakit yang berisiko tersebar ketika musim banjir

Musim banjir masih belum reda. Hati-hati, ini penyakit yang berisiko tersebar ketika musim banjir

Musim banjir masih lagi berlaku di sekitar Pantai Timur Malaysia, terkini mengikut Harian Metro jumlah mangsa banjir di Rantau Panjang, Kelantan kekal sama dan masih tidak dibenarkan untuk pulang ke kediaman masing-masing kerana paras air belum lagi surut. Oleh itu kepada penduduk-penduduk yang masih menghadapi banjir perlulah peka terhadap keselamatan serta kesihatan masing-masing.

Banjir yang berlaku akan menyebabkan sampah-sarap, najis serta bahan tercemar terkeluar dan akan mengakibatkan pelbagai penyakit. Mengikut portal MyHealth, antara penyakit yang boleh berisiko untuk melarat ketika musim banjir, ialah:-

  • Penyakit Leptospirosis
Via Colarado

 

Penyakit Leptospirosis merupakan penyakit yang  disebabkan oleh bakteria Leptospira yang terdapat di dalam air kencing haiwan mamalia seperti tikus, kucing, anjing, lembu dan sebagainya. Penyakit ini boleh berjangkit kepada manusia yang terdedah atau bersentuhan secara langsung dengan air atau air banjir yang telah tercemar dengan air kencing haiwan yang telah terjangkiti dengan bakteria ini.

Antara tanda-tanda penyakit Leptospirosis ialah demam, sakit kepala, loya, muntah, sakit otot, kemerahan pada mata, ruam, sakit pada abdomen, jaundis dan air kencing berwarna kehitaman.

Langkah-langkah pencegahan yang patut diamalkan adalah memastikan kebersihan persekitaran rumah, tutup  makanan supaya dihindari tikus, sentiasa mencuci tangan dan menjaga kebersihan diri.

  • Penyakit Konjunktivitis (Sakit Mata)
Via Generali

Konjunktivitis atau Sakit Mata juga merupakan penyakit yang kerap terjadi semasa banjir. Penyakit ini mudah merebak dengan cepat dari seorang pesakit kepada orang lain melalui perkongsian alat-alat peribadi seperti tuala, bantal dan sapu tangan serta bergaul rapat dengan orang yang sakit mata.

Oleh itu elakkan dari meminjam bahan peribadi orang lain dan sentiasa mencuci tangan menggunakan sabun bagi mengelakkan penyebaran bakteria.

  • Penyakit Bawaan Air dan Makanan
Via Khmer

Penyakit bawaan air dan makanan kerap berlaku semasa dan selepas kejadian banjir adalah seperti Demam Kepialu (Typhoid), Taun/Kolera, Hepatitis A, Disentri dan keracunan makanan.

Gejala penyakit ini seperti cirit-birit, muntah, demam, sakit perut, dan sakit kepala. Cara jangkitan penyakit ini adalah melalui meminum air atau memakan makanan yang telah dicemari oleh kuman-kuman penyakit tersebut. Penyakit ini sangat mudah berjangkit dan merbahaya.

Oleh itu, sentiasalah minum air yang bersih dan cuci bahan-bahan makanan sebelum makan bagi mengelakkan penyakit yang tidak diingini ini.

  • Demam denggi
Via KKM

Demam denggi merupakan sesuatu yang sudah tidak asing bagi kita. Kita musim banjir, air akan bertakung dan keadaan ini memberikan peluang untuk nyamuk aedes yang membawa virus denggi membiak dengan cepat. Justeru, bersihakanlah kawasan yang mempunyai sisa air bertakung bagi mengelakkan kejadian demam denggi berlaku.

Sekiranya anda mempunyai simptom demam mengejut, sakit kepala teruk, sakit di belakang bebola mata, sakit sendi dan otot segeralah berjumpa dengan pakar kesihatan.

Apapun, tetaplah berada dalam keadaan selamat dan terus patuhi SOP!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *