Musim banjir masa yang sesuai untuk ‘Leptospirosis’ merebak. Mari ambil tahu tentang penyakit ini!

Hujung tahun merupakan musim banjir di sekitar negeri di Malaysia. Ketika musim banjir, terdapat pelbagai penyakit berjangkit yang boleh menjangkiti manusia jika tidak berhati-hati. Salah satu penyakit yang mudah merebak ialah Leptospirosis ataupun lebih dikenali sebagai kencing tikus.
APA ITU KENCING TIKUS?

Mengikut portal MyHealth, Leptospirosis adalah penyakit yang disebabkan oleh bakteria Leptospira icterohaemorrhagiae yang terdapat dalam ginjal tikus dan keluar melalui air kencing tikus. Leptospirosis menjangkiti manusia melalui makanan dan minuman yang tercemar dengan kencing tikus dan aktiviti berenang dalam air yang tercemar dengan bakteria tersebut. Antara faktor risiko yang boleh menyebabkan dijangkiti leptospirosis termasuklah aktiviti rekreasi dalam air seperti berenang, berkayak dan berbasikal di laluan denai. Selain itu, keadaan musim banjir juga boleh mengakibatkan terjadinya risiko kencing tikus ini.
Langkah pencegahan penularan leptospirosis adalah elakkan daripada mengunjungi kawasan yang ada air bertakung/ air tenang. Minum air yang telah dimasak dan elakkan dari bermandi-manda ketika musim banjir.
TANDA-TANDA DIJANGKITI KENCING TIKUS

Ketika musim banjir ini, lihat tanda-tanda pada tubuh badan anda sekiranya tidak berasa sihat, seperti:-
- Demam panas
- Menggigil
- Sakit Kepala
- Sakit perut
- Muntah
- Cirit-birit
- Ruam
- Sakit otot
- Sakit tekak
Sekiranya anda mempunyai simptom-simptom seperti yang berikut, jangan berlengah lagi kerana anda perlu untuk mendapatkan rawatan segera agar tidak membawa maut. Ingat, komplikasi kencing manis ini boleh menyebabkan kegagalan pelbagai fungsi organ, kegagalan hati dan fungsi ginjal dan juga jantung.
LANGKAH-LANGKAH UNTUK MENGELAK DARI DIJANGKITI KENCING TIKUS
Mencegah lebih baik dari mengubati. Begitulah pepatah yang sering diucapkan oleh nenek moyang kita. Ketika musim banjir ini berjaga-jagalah dan amalkan langkah-langkah tersebut untuk mengelakkan diri dari terkena penyakit kencing tikus :-
- Elakkan daripada meminum air yang tidak dimasak
- Jika anda mempunyai luka, tutup luka tersebut dengan plaster ataupun pembalut bagi mengelakkan jangkitan kuman pada luka tersebut
- Jangan bermandi-manda ketika banjir berlaku, ianya bukan sahaja membahayakan nyawa tetapi anda akan terdedah dengan pelbagai jenis penyakit
- Mandi dengan air yang bersih dan sabun selepas meredah banjir ataupun mencuci sisa-baki lumpur banjir
Selebihnya, anda hanya perlu beringat dan jangan pandang sambil lewa jika anda mempunyai simptom-simptom ringan kencing tikus ini. Apapun, semoga kita terus sihat dan tabah mengharungi musim hujan dan banjir ini. Hati-hati!