Alamak, tak boleh minum air sejuk ketika datang haid? Betul ke akan akibatkan perkara ni…

Alamak, tak boleh minum air sejuk ketika datang haid? Betul ke akan akibatkan perkara ni…

Keluar darah haid merupakan rutin bulanan para wanita. Namun disebalik proses semulajadi yang berlaku ini, terdapat beberapa kepercayaan yang perlu dipatuhi agar tidak mengakibatkan kesihatan wanita itu terjejas, dan salah satunya adalah membasahkan rambut ketika mandi. Membasahkan rambut ketika mandi dipercayai akan mengakibatkan kepala masuk angin. Ini tidak benar ya, ketika anda datang haid tiada masalah untuk basahkan rambut, jagalah kebersihan diri lebih-lebih lagi ketika haid ya.

Hah, selain basahkan rambut, terdapat beberapa kepercayaan lain yang sebenarnya tidak betul dan tiada bukti saintifik bagi pernyataan yang dikatakan. Jom kita lihat mitos dan kebenaran disebalik kepercayaan ini.

MAKAN TIMUN BOLEH AKIBATKAN DARAH HAID TIDAK LANCAR?!

Inilah salah satu kepercayaan yang masih dipegang, timun yang dipercayai mempunyai getah ini dipercayai dapat menyebabkan darah haid tertinggal pada dinding rahim.  Namun tahukah anda, makan timun ketika datang haid TIDAK memberikan sebarang kesan kepada dinding rahim kerana saluran pencernaan tidak bersambung pada rahim anda.

MINUM AIR SEJUK PUNCA DARAH MEMBEKU?

Tidak sama sekali, air sejuk bukanlah punca kepada darah membeku di rahim. Sama seperti mitos timun, sebarang makanan ataupun minuman tidak akan masuk ke dalam saluran rahim tetapi ianya akan masuk melalui perut dan usus.

MINUM AIR KELAPA BUAT RAHIM SEJUK?

Salah satu pantang larang bagi kaum hawa yang  datang haid dan masih dipercayai sehingga kini ialah meminum air kelapa. Air kelapa dipercayai akan memberikan kesan sejuk pada rahim. Akibatnya, kaum hawa akan lebih senang untuk dapat senggugut. TIDAK, ianya tidak benar sama sekali, malah air kelapa ni menyimpan pelbagai khasiat dan bagus untuk hidrasi tubuh badan.

MINUM MINUMAN BERKARBONAT KETIKA HAID AKAN AKIBATKAN KANSER RAHIM?

Fuh, ketika waktu zaman sekolah dulu. Kalau nampak je kawan-kawan yang teguk setin air berkarbonat ketika tahu beliau datang haid. Mulalah kita sebarkan yang minum air berkarbonat ketika datang haid akan akibatkan rahim menjadi tipis dan hasilnya boleh dapat kanser rahim. Tetapi, kepercayaan ini tidaklah benar ya. Namun, perlu di ingat meminum air berkarbonat adalah tidak sihat, kerana ia mengandungi kandungan gula yang cukup tinggi. Tak pasal-pasal potong kaki nanti!

MAKAN PARACETAMOL WAKTU PERIOD BOLEH SEBABKAN RAHIM LEMAH DAN SENANG KEGUGURAN?

Tidak! Kenyataan ini adalah tidak benar sama sekali. Perlu di ingat ya kawan-kawan, hampir 90% wanita mengalami masalah senggugut ketika haid. Kesakitan senggugut ini kadang kala menyebabkan mereka sukar untuk pergi ke sekolah dan bekerja. Dan, untuk mengatasi masalah tersebut, seseorang itu perlulah memakan ubat tahan sakit seperti paracetamol bagi meneruskan aktiviti seperti biasa. Buat masa ini juga, tiada sebarang kajian ataupun bukti saintifik mengatakan bahawa memakan paracetamol ketika haid menyebabkan masalah rahim lemah.

Ya, apapun. Jika anda terdapat masalah kesihatan ketika datang haid, anda perlulah segera berjumpa dengan doktor dengan segera. Dapatkan nasihat perubatan dari mereka yang terlatih dan bertauliah. Oh ya, anda ada dengar apa-apa lagi kepercayaan ketika haid? Mari kongsi di sini.

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *