Pancutan air mani tanpa sperma? Ini penyakit lelaki yang ramai terlepas pandang

Pancutan air mani tanpa sperma? Ini penyakit lelaki yang ramai terlepas pandang

Semua pasangan yang berkahwin mengimpikan untuk memiliki cahaya mata. Namun, tidak semua dapat merasainya secepat yang mereka sangka. Sesetengah orang menunggu lebih 5 tahun, ada juga sehingga 10 tahun. Semuanya tidak mustahil jika diketahui punca utamanya serta mendapat rawatan yang sepatutnya.

Dalam hal berkaitan mendapatkan cahaya mata ini, jika ada masalah kesuburan bukanlah untuk mencari kesalahan sesiapa sama ada suami atau isteri. Cumanya, kita  juga perlu tahu masalah kesukaran mendapat anak ini boleh jadi berpunca daripada si suami. Ini kerana ramai terlepas pandang akan hal ini dan si isteri sering dipersalahkan.

Ini penting kerana belum tentu air mani yang dikeluarkan suami itu mempunyai walaupun satu sperma.

Buah zakar anda normal, tetapi badan anda tidak dapat membuatkannya untuk menghasilkan sperma

Infografik untuk senang faham. Imej dari Uears

“Azoospermia adalah keadaan di mana tidak ada sperma yang dapat dikira dalam pancutan air mani lelaki. Azoospermia membawa kepada kemandulan lelaki.” – Petikan dari Cleveland Clinic

Dikatakan ia dialami oleh sekitar 1% dalam kalangan lelaki dan 15% dalam kalangan lelaki tidak subur. Sebenarnya, tidak ada gejala yang anda dapat perhatikan, tetapi jika anda telah berusaha untuk membuat pasangan anda hamil, tapi tidak berjaya, keadaan ini boleh menjadi penyebabnya.

Portal kesihatan dunia, WebMD melaporkan bahawa anda mungkin mempunyai masalah yang menyebabkan testis anda tidak dapat membuat sperma atau menghentikan sperma keluar dari badan anda. Terdapat tiga jenis azoospermia serta punca-puncanya:

  1. Pretesticular azoospermia: Buah zakar (testicle) anda normal, tetapi badan anda tidak dapat membuatkannya untuk menghasilkan sperma. Ini mungkin berlaku kerana tahap hormon yang rendah atau setelah anda menjalani kemoterapi. Jenis ini agak jarang berlaku.
  2. Testicular azoospermia: Berlaku kerosakan pada buah zakar anda menghalangnya daripada membuat sperma secara normal. Ia boleh berlaku kerana: jangkitan pada saluran pembiakan anda seperti epididimitis dan uretritis, penyakit kanak-kanak seperti orkitis virus yang menyebabkan pembengkakan pada salah satu atau kedua-dua buah zakar, kecederaan pangkal paha, kanser atau rawatannya seperti radiasi dan keadaan genetik seperti sindrom Klinefelter
  3. Post-testicular azoospermia: Buah zakar anda menghasilkan sperma normal, tetapi ada yang menghalangnya keluar seperti: penyumbatan pada saluran yang membawa sperma dari buah zakar ke zakar anda, vasektomi (prosedur pembedahan untuk pensterilan lelaki atau kontrasepsi kekal) dan ejakulasi retrograde iaitu apabila air mani masuk ke dalam pundi kencing dan bukannya keluar dari zakar anda semasa klimaks.

Ini bukanlah jalan terakhir bagi pasangan yang mengalami azoospermia

Pasangan perlu saling kuat menguatkan. Imej dari Virginia Fertility & IVF

Seperti yang disebut di atas, agak sukar untuk mengesan gejala ini jika kita mengalaminya. Namun, jika sudah berkali-kali mencuba untuk membuat isteri hamil lalu menemui kegagalan, pergilah bertemu dengan pakar kesuburan di hospital atau klinik. Jika disahkan anda mengalami azoospermia setelah diuji, doktor anda kemudian akan mencari punca masalah tersebut serta memberi ujian fizikal yang lengkap. Selain itu, doktor akan menyemak sejarah perubatan anda dan menguji darah untuk mengukur tahap hormon anda.

“Namun, ini bukanlah jalan terakhir bagi pasangan tersebut. Jika mereka mahu meneruskan usaha untuk mendapatkan cahaya mata, masih ada lagi sinar harapan bagi mereka. Kaedah in-vitro fertilization (IVF) dan intra-cytoplasmic sperm injection (ICSI) telah merevolusikan rawatan kesuburan.

Yang pentingnya, Pakar Kesuburan haruslah dapat menemui sperma, walaupun dalam jumlah yang sangat rendah, supaya dapat disuntik terus kedalam benih (telur/oosit) si-isteri; iaitu kaedah ICSI.” – Dr. Sumithra Devi Valiapan, Pakar Kesuburan (Fertiliti) dan Pakar Obstetrik & Ginekologi, dari mmgazette

Anda dan pasangan jangan cepat mengalah, setiap sesuatu itu pasti ada hikmahnya!

Suka dengan pengisian artikel ini? Mari dapatkan banyak lagi artikel berkaitan kesihatan dari kami dengan menyertai channel telegram kami di sini: https://t.me/kitasihat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *