Seperti India, Hospital Sungai Buloh mula guna kontena khas bagi mayat pesakit Covid-19

Tidak dapat dinafikan lagi bahawa lonjakan kes positif COVID-19 semakin hari semakin menjadi-jadi. Sistem kesihatan negara mula terbeban apabila Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh terpaksa menyediakan kontena khas sebagai tambahan tempat menyimpan jenazah yang meninggal dunia akibat COVID-19.
Perkara itu dimaklumkan menerusi akaun rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di beberapa platform media sosial.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) untuk merawat pesakit COVID-19 mencecah 80 peratus di seluruh negara setakat hari ini.
Lebih 80 peratus kematian COVID-19 di negara ini merupakan golongan berusia
Beberapa negeri bagaimanapun telah merekodkan penggunaan katil ICU melebihi 80 peratus, termasuk Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Perak dan Kedah.
“Lebih 80 peratus kematian COVID-19 di negara ini merupakan golongan berusia dan menghidap lebih satu penyakit kronik atau komorbiditi,” – menurut ciapan KKM.
KKM turut menambah bahawa kebanyakan mangsa korban akibat COVID-19 mendapat jangkitan daripada ahli keluarga terdekat.
“Jika anda tinggal bersama golongan berisiko tinggi, lindungi diri anda untuk anda melindungi mereka,” – kata KKM
Sebelum ini, beberapa negara seperti Amerika Syarikat, Itali dan India mula menggunakan kontena khas bagi menyimpan jenazah yang meninggal dunia akibat COVID-19 ketika sistem kesihatan negara masing-masing tidak mampu menampung lonjakan kes jangkitan.