Negeri ini buka pusat vaksin sementara di masjid & surau. Orang bukan muslim turut hadir

Negeri ini buka pusat vaksin sementara di masjid & surau. Orang bukan muslim turut hadir

Semakin hari semakin ramai telah menerima suntikan vaksin. Program vaksinasi kebangsaan yang sebelum ini nampak sendu, kini semakin rancak dengan penambahbaikan yang dilakukan.

Astro Awani melaporkan bahawa di Kelantan, pihak jabatan kesihatan mengambil inisiatif membuka Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sementara di masjid, surau dan pondok bagi memudahkan penduduk setempat mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.

Menurut Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan Datuk Dr Zaini Hussin, melalui program outreach vaksinasi itu, enam lokasi membabitkan rumah ibadat yang dikenal pasti akan beroperasi selama lima hari dengan sasaran 400 suntikan sehari di setiap PPV sementara terbabit.

Orang bukan muslim turut hadir ke masjid untuk dapatkan suntikan

“Walaupun ia dilaksanakan di masjid tetapi tidak terhad kepada golongan Muslim sahaja. Malah ada juga 10 hingga 20 peratus golongan bukan Muslim turut hadir untuk mendapatkan suntikan di PPV sementara ini.

Setakat ini, 600 orang telah menerima suntikan vaksin di PPV sementara ini,” kata Dr Zaini Hussin

Usaha ini membuka PPV sementara di pusat ibadat ini adalah adalah untuk memastikan lebih ramai penduduk menerima suntikan vaksin secepat mungkin selain memudahkan pergerakan mereka.

“Pihak kami juga mendapat sokongan daripada penggawa serta Ahli Dewan Undangan Negeri untuk menjalinkan kerjasama bagi mengumpul nama-nama selain mereka yang sudah mendaftar melalui aplikasi MySejahtera untuk menerima suntikan vaksin,” katanya.

Menariknnya, pengoperasian PPV sementara itu mungkin dilanjutkan jika mendapat permintaan tinggi.  Beliau juga berkata tahap kesedaran penduduk Kelantan berhubung suntikan vaksin semakin baik kerana melalui program outreach sebelum ini, isu ketidakhadiran individu untuk mendapatkan suntikan adalah rendah.

Memastikan seramai mungkin penduduk menerima suntikan vaksin sebelum musim tengkujuh

Dr Zaini berkata pihaknya akan berusaha untuk memastikan penduduk mendapat suntikan sebelum musim tengkujuh selewat-lewatnya pada September ini.

“Ini kerana keadaan cuaca pada ketika itu akan menyukarkan petugas kesihatan masuk ke kawasan pedalaman yang hanya boleh dilalui dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda untuk memberikan suntikan vaksin,” katanya.

Kita semua perlu ingat bahawa program vaksin akan berjaya sekiranya masyarakat kita berjaya membangunkan imuniti kelompok (herd immunity).

Apabila semakin ramai orang mendapat vaksin, sekumpulan orang mulai membangun pertahanan kolektif terhadap virus. Ini menyebabkan jangkitan sedia ada terasing serta tidak merebak menjadi wabak. 

Imuniti kelompok boleh bermula dengan baik sebelum 75% orang diberi vaksin sepenuhnya. Selain itu juga, ada yang berpendapat imuniti kelompok adalah sebagai titik permulaan ketika wabak tidak lagi dapat merebak.

Sebagai contoh, walaupun terdapat sekumpulan kes campak di komuniti yang tidak divaksin, imuniti kelompok menghalangnya daripada merebak di seluruh negara.

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *