Seorang artis 80-an ditahan kerana gangguan seksual terhadap budak 14 tahun. Ini laporannya

Penderaan seksual secara fizikal merupakan suatu hal yang sangat zalim kepada kita semua. Ia bukan sahaja memberi kesan secara fizikal, malah secara mental.
Baru-baru ini pihak polis telah menahan seorang artis lelaki tahun 1980-an, dipercayai melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan.
Apa yang memalukan, suspek yang juga bapa kepada penyanyi wanita terkenal itu didakwa melakukan perbuatan tidak bermoral terbabit sejak Ogos tahun lalu.
Suspek seperti tiada moral dan bernafsu binatang
“Kejadian pertama berlaku terhadap mangsa berusia 14 tahun itu pada Ogos 2020 di rumah kawan ibunya di sebuah kondominium di Puchong Prima.
“Dalam kejadian itu, ia membabitkan seorang suspek yang dikenali sebagai atok berusia 65 tahun,” katanya
Seperti dimaklumkan oleh Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Abd Khalid Othman, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu jam 3 petang pada 21 Julai lalu.
Suspek seperti tiada moral kerana dilaporkan turut melakukan dua lagi perbuatan amang seksual terhadap mangsa yang masih bersekolah di tingkatan dua di sebuah sekolah menengah, di Puchong pada Oktober dan November tahun lalu.
Susulan laporan tersebut, pihaknya menahan suspek terbabit di perkarangan Balai Polis USJ 8, di sini, jam 11.00 malam pada 21 Julai lalu.
“Bagaimanapun, suspek dibebaskan dengan jaminan polis memandangkan dia menghidap penyakit jantung. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya.
Pedofilia adalah penyakit mental kronik
Menurut Pegawai Psikologi Kanan Bahagian Perkhidmatan Sumber Manusia, Universiti Putra Malaysia, Siti Fatimah Abdul Ghani, pedofilia ialah penyakit mental kronik yang menyebabkan penghidapnya berasa ghairah apabila melihat kanak-kanak atau gambar mereka.
Katanya lagi, pedofilia mencari mangsa dengan memerhati dari jauh dan jika berpeluang, mereka akan mendekati mangsa. Pesakit (pedofil) yang berpotensi besar untuk melakukan jenayah seksual boleh mendapatkan sesi rawatan untuk mengurangkan keinginan seks mereka.
Kita semua kena ingat, zaman dahulu dan sekarang amat berbeza. Jika dulu, anak kecil boleh dibiarkan pergi ke kedai secara sendirian, namun kini dengan dunia dipenuhi dengan manusia sakit mental, tidak boleh dipastikan sama ada si kecil itu dapat kembali dengan selamat.
Sebagai langkah keselamatan, ibu bapa dinasihatkan untuk tidak memuat naik gambar anak di laman sosial terutama dalam keadaan tidak sempurna termasuk dari segi pakaian bagi mengelak terdedah kepada pedofilia.